Home Nasional Jho Low terus jadi buruan

Jho Low terus jadi buruan

Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan panggilan Jho Low.
Low Taek Jho

PUTRAJAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan usaha memburu Jho Low dan Datuk Shahrol Helmi untuk membantu siasatan dalam skandal syarikat pelaburan nasional 1MDB.

Perdana Menteri , Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh mengeluarkan waran tangkap namun kerajaan masih tiada hak untuk mengekstradisi mereka di negara luar.

“Kita masih cuba menahan Jho Low tapi dia tiada dalam negara dan kita tiada hak ekstradisi di negara di mana dia berada.

“Saya fikir dia disiasat penglibatannya dalam 1MDB dan atas asas itu dia akan ditahan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan proses penahanan Low, 36, yang diketahui rakan rapat dan penasihat perniagaan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Alamat terakhir Low ialah di No 69, Tanjung Bungah Park, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Ditanya tentang lokasi terkini Low, Mahathir bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik selepas pihak berkuasa sukar mengesannya untuk ditahan bagi membantu siasatan.

“Banyak negara (dia berada),” katanya lagi. – MalaysiaGazette