Home Utama Jangan tunggu 100 hari baru kritik kerajaan, kata Maria

Jangan tunggu 100 hari baru kritik kerajaan, kata Maria

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah (tengah) bergambar kenangan bersama ahli panel yang hadir pada Forum Majlis Peguam Malaysia mengenai kepentingan pembangkang yang kuat untuk demokrasi kukuh di Wisma Badan Peguam Malaysia, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 JUN 2018.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah (tengah) bergambar kenangan bersama ahli panel yang hadir pada Forum Majlis Peguam Malaysia mengenai kepentingan pembangkang yang kuat untuk demokrasi kukuh di Wisma Badan Peguam Malaysia, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Maria Chin Abdullah menasihatkan rakyat supaya tidak menunggu sehingga tamat tempoh 100 hari baru mahu mengkritik janji kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berpendapat, tidak ada sebarang tempoh masa yang ditetapkan untuk mengkritik kerajaan baharu yang terbentuk selepas PRU-14.

“Saya tidak fikir ada tempoh masa untuk kritikan. Kalau kamu rasa ada sesuatu yang tidak betul (kerajaan PH) kamu harus luahkan sekarang juga, dalam masa 100 hari ini.

“Kami telah menunggu sehingga kerajaan baharu pun terbentuk. Kita tidak boleh menunggu sehingga selepas 100 hari pertama (janji manifesto) untuk membangkitkan kritikan.. ia sudah terlalu lambat,” kata beliau dalam Forum Awam Kepentingan Pembangkang Yang Terkuat Untuk Demokrasi Kukuh di Majlis Peguam di sini hari ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah bercakap pada Forum Majlis Peguam Malaysia mengenai kepentingan pembangkang yang kuat untuk demokrasi kukuh di Wisma Badan Peguam Malaysia, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 JUN 2018.

Tambah Maria Chin, selepas kerajaan baharu terbentuk masih terdapat segelintir pihak menyuarakan pendapat dan kritikan masing-masing berhubung janji-janji termasuk soal pelantikan beberapa individu.

“Ada yang memulakan kritikan tentang harga barang serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak turun seperti yang dijanjikan dalam manifesto untuk dilaksanakan dalam 100 hari pertama,” ujarnya.

Seorang lagi Panel forum, Presiden Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz pula berkata, rakyat perlu lebih peka selepas ini kerana mereka sendiri meluahkan pendapat sehingga tertubuhnya kerajaan baharu.

“Saya rasa kita perlu lebih berhati-hati, saya rasa perubahan kerajaan sudah terlaksana tetapi kita juga telah menyaksikan beberapa ‘pusingan U’,” katanya.

Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz bercakap pada Forum Majlis Peguam Malaysia mengenai kepentingan pembangkang yang kuat untuk demokrasi kukuh di Wisma Badan Peguam Malaysia, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 JUN 2018.

Menurut Tunku Zain, beberapa perkara misalnya kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa pihaknya akan meneliti Akta Anti Berita Tidak Benar 2018.

“Beliau kata mahu meneliti akta terbabit tetapi manifesto pilihanraya Pakatan Harapan berjanji mahu menghapuskannya,” tegas beliau.

Satu lagi contoh ialah Mahathir melantik dirinya sebagai Menteri Pendidikan tetapi di kemudian hari mendakwa beliau tidak boleh memegang dua portfolio kerana bercanggah dengan manifesto PH. – MalaysiaGazette