KUALA LUMPUR – Datuk A. Kadir Jasin mengumumkan peletakan jawatan dalam kerajaan Pakatan Harapan ekoran artikel kontroversinya baru-baru ini yang dikecam hebat oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyentuh institusi raja.
Beliau memegang jawatan sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan serta mencatur banyak strategi politik ketika kempen pilihan raya umum lalu.
Artikelnya baru-baru ini dilihat mengkritik raja Melayu dengan salah satunya mendakwa dana kerajaan kira-kira RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Susulan itu, Anwar yang baharu sahaja selesai siri jelajah mengadap Raja Melayu di beberapa negeri tidak berpuas hati dengan Kadir dan menyatakan bekas wartawan itu perlu ada rasa hormat dan tertib dalam urusan dengan Raja-Raja Melayu.
Kadir kemudian menjelaskan, tulisan artikelnya itu disalahtafsir sebagai pandangan mewakili kerajaan walhal ia sebenarnya adalah pandangan peribadi beliau.
“Segala pendapat yang saya zahirkan di dalamnya adalah pendapat saya semata-mata. Saya menulis atas kapasiti sebagai seorang bloger dan tiada kaitan dengan sebarang jawatan yang mungkin saya pegang,” beliau dipetik berkata.
Keputusan peletakan jawatannya itu dipersetujui oleh Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.
“Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Daim atas kepercayaan dan keyakinan mereka kepada saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette