ENGLAND – Manchester United dilaporkan sedang dalam proses untuk mengikat khidmat penjaga gol, Atletico Madrid Jan Oblak sejak kebelakangan ini.
Kelab paling sukses di England itu dikatakan mahu menyelesaikan proses itu dalam masa terdekat sebelum menjual David de Gea kepada Real Madrid.
Real Madrid kini dalam proses melantik pengurus baharunya menggantikan Zinedine Zidane yang telah meninggalkan kelab itu Khamis lalu.
Kegagalan presiden kelab itu Florentino Perez mendapatkan David de Gea dan juga Eden Hazard dikatakan sebagai punca Zidane berundur setelah menjulang Piala Liga Juara-Juara Eropah tiga musim berturut-turut.
The Galacticos masih tidak mahu berputus asa dalam usaha mendapatkan bintang Man United bertaraf dunia itu.
De Gea berjaya memenangi sarung tangan emas musim lalu bersama the Red Devils.
Satu laporan berkata, Mourinho tidak sanggup melepaskan penjaga gol berkelas dunia yang menjadi aset kelab itu sebelum memuktamadkan pengganti paling layak untuk bintang antarabangsa Sepanyol tersebut.
Musuh tradisi Man United, Liverpool juga mencuba nasib meletakkan tawaran untuk Oblak dari Slovenia minggu lalu.
Namun kelab itu ditampar dengan harga pembelian agak mahal iaitu sebanyak £80 juta daripada Atletico Madrid.
Namun bagi Jose dan Man United harga itu bukanlah besar sangat memandangkan penjaga gol muda itu kini berada dalam prestasi terbaik dan dalam kedudukan antara terbaik dunia.
Menggantikan de Gea dengan seorang lagi penjaga gol muda dan berkelas dunia seperti Oblak disifatkan sebagai pelaburan bernilai kepada Jose Mourinho untuk terus memastikan Manchester United sebagai kelab gergasi yang digeruni di Eropah dan dunia selepas Real Madrid. – MalaysiaGazette