KUALA LUMPUR – Jemu dengan cara lama dalam parti membuatkan Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan menawarkan diri bertanding Ketua Pergerakan UMNO.
Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara itu berkata, parti memerlukan perubahan holistik bukan sekadar retorik selepas kekalahan PRU-14.
“Setelah mengalami peristiwa 905, terdapat desakan desakan dari semua peringkat yang mahukan perubahan. Perubahan bukan dari segi retorik semata, tetapi perubahan secara holistik. Saya sendiri turut mahukan perubahan demi kejayaan UMNO seperti sahabat semua.
“Walaubagaimanapun, terdapat segelintir dari pemimpin UMNO di akar umbi dan peringkat tertinggi yang masih mahukan rentak yang lama dengan cara yang lama.
“Mereka juga masih mengamalkan kronisme dalam pendekatan politik ataupun yang dikatakan ‘extreme partisanship’.
“Inilah masanya untuk kita bangkit dan katakan pada mereka bahawa kami sudah jemu dengan cara lama mereka itu yang tidak memberi perhatian kepada perkara perkara penting untuk tujuan parti.
“Kami juga sudah muak dengan amalan ‘partisanship’ yang tidak memberi apa apa faedah melainkan memecah belahkan kita kepada kelompok kelompok yang hanyalah untuk menjaga kepentingan mereka dan nyatakan juga pada mereka, kita sudah benci pada korupsi, politik wang dan keangkuhan sesetengah pihak yang mengadaikan perjuangan asal demi kepentingan di dunia,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Justeru, Wan Agyl memohon para perwakilan semua agar dapat membantu seikhlasnya usaha agenda pembaharuan beliau.- MalaysiaGazette