Home Dunia Pesawat kargo pemimpin Korea Utara menuju ke Singapura

Pesawat kargo pemimpin Korea Utara menuju ke Singapura

Kim Jong-Un hanya melakukan hanya satu lawatan luar negara dengan menggunakan pesawat sejak menjadi pemimpin Korea Utara pada 2011.
Kim Jong-Un hanya melakukan hanya satu lawatan luar negara dengan menggunakan pesawat sejak menjadi pemimpin Korea Utara pada 2011.

Singapura – Sebuah pesawat kargo yang mengiringi pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un yang membawanya ke China baru baru ini telah berlepas dari Pyongyang berkemungkinan menuju ke Singapura hari ini, untuk menghadiri sidang kemuncak antara beliau dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Jong-Un akan menemui Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong hari ini, kata kenyataan Kementerian Luar Singapura. Jong-Un akan tiba di Lapangan Terbang Changi hari ini, kata sumber kepada Reuters awal minggu ini.

Trump akan berjumpa Hsein Loong pada Isnin. Beliau dijadual tiba di pangkalan udara Paya Lebar pada pukul 8.35 malam ini dan terus ke Hotel Shangri-La, menurut White House.

Deligasi beliau dalam pesawat Air Force One termasuk Setiausaha Negara, Mike Pompeo, Penasihat Keselamatan Negara, John Bolton, Ketua Staf White House, John Kelly dan Setiausaha Akhbar White House, Sarah Sanders.

Jong-Un hanya melakukan hanya satu lawatan luar negara dengan menggunakan pesawat sejak menjadi pemimpin negara itu pada 2011 dan pesawat kargo, Ilyushin-76 itu mengiringi pesawat peribadi beliau, Ilyushin-62M ke Dalian, China pada Mei.

Sebuah pesawat Il-76 berlepas dari Pyongyang awal pagi ini dan berhenti di Guangzhou di selatan China sebelum menyambung perjalanan menuju ke Singapura, seperti yang ditunjukkan flight tracking.

Lori-lori yang mempunyai kemudahan peti sejuk akan menunggu di Lapangan Terbang Changi hari ini untuk menerima muatan dari pesawat itu, lapor akhbar Straits Times yang menyatakan pesawat tersebut dipercayai membawa makanan dan beberapa kereta mewah untuk mengiringi pemimpin Korea Utara itu.

Pesawat Il-76 tidak boleh terbang lebih daripada 3,000 kilometer (km) tanpa mengisi semula bahan bakar jika membawa muatan penuh. Ia dijangka berhenti di beberapa lokasi yang mesra dengan Korea Utara semasa dalam perjalanan ke Singapura, dengan jarak 4,700 km dari Lapangan Terbang Sunan di Pyongyang, atau terbang dengan muatan yang berkurangan.

Pesawat Il-76 direka untuk memindahkan jentera berat, yang boleh memuatkan sebuah bas sekolah atau dua kontena, ke kawasan terpencil di Soviet Union, menurut pegendali pesawat penumpang dan kargo, Antarctic Logistics & Expeditions. – Agensi