Home Ekonomi DFTZ, KLIA Aeropolis diteruskan

DFTZ, KLIA Aeropolis diteruskan

Badlisham Ghazali bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI. 11 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Projek Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dan KLIA Aeropolis masih diteruskan setakat ini kerana ia hanya melibatkan dana dua buah syarikat swasta iaitu Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan gergasi perdagangan digital China, Alibaba.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali berkata, beliau bagaimanapun telah memberi taklimat kepada Menteri Pengangkutan baharu, Anthony Loke.

“Beliau (Anthony) sedang mengumpul maklumat dan mahu melakukan kajian tetapi setakat ini projek-projek tersebut masih berjalan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Majlis Penasihat Kerajaan di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najin Tun Razak merupakan pencetus idea DFTZ iaitu hab e-dagang yang dijangka mampu merangsang lebih banyak pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana. Ia bakal dibangunkan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Manakala KLIA Aeropolis pula adalah pusat sehenti yang menempatkan industri aeroangkasa, pembaikan, kargo dan logistik serta pusat membeli-belah dan hiburan.

Ketika ditanya mengenai cadangan taikun Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan yang mahu membina lapangan terbang baharu di Pulau Tioman, Badlisham berkata, banyak kajian termasuk oleh kerajaan sendiri untuk membina lapangan terbang di pulau peranginan itu.

Bagaimanapun cadangan tersebut masih belum mampu dilaksanakan kerana kawasan yang sesuai melainkan kerja-kerja penambakan laut boleh dijalankan.

“Bila kita menambak laut, kita perlukan kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang kita tahu memang sukar untuk didapati.

“Memang kita memerlukan pesawat yang lebih besar dapat membawa penumpang ke Pulau Tioman sebab sebelum ini cuma pesawat lima hingga enam orang penumpang sahaja tetapi masalah besar yang kami hadapi adalah tiada kawasan yang sesuai untuk dijadikan landasan bagi pendaratan pesawat lebih besar,” katanya lagi.- MalaysiaGazette