Home Utama Beberapa CEO GLC akan dipecat?

Beberapa CEO GLC akan dipecat?

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin ketika sidang media di Menara Ilham, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 18 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Majlis Penasihat Kerajaan didakwa akan menyerahkan sepucuk surat kepada Kementerian Kewangan bagi tindakan memecat beberapa Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) dalam masa terdekat.

Menurut sumber, isi kandungan surat berkenaan adalah tindakan pemecatan CEO beberapa syarikat berkaitan kerajaan dan agensi kerajaan.

“Majlis Penasihat Kerajaan sedang dalam proses menghantar surat kepada Kementerian Kewangan bagi memecat beberapa CEO GLC dan agensi kerajaan,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Awal bulan ini, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim melepaskan jawatannya selepas 2 tahun beliau dilantik ke jawatan itu.

Muhammad dilantik sebagai gabenor pada 1 Mei 2016, menggantikan Tan Sri Zeti Akthar Aziz.

Hari yang sama, Telekom Malaysia Bhd (TM) mengumumkan peletakan jawatan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly, berkuatkuasa serta merta.

Malah, beberapa pengerusi agensi kerajaan bertindak melepaskan jawatan masing-masing setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Ia termasuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang melepaskan kedudukan masing-masing dalam Khazanah Nasional Berhad.

Turut berbuat demikian Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim; Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Shamsul Anuar Nasarah, dan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad. – MalaysiaGazette