KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa Tun Daim Zainuddin mendesak Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin meletakkan jawatan jika benar tidak boleh diterima sama sekali.
Tindakan tersebut, kata seorang peguam jelas menunjukkan wujudnya campur tangan di mana Daim tidak berhak berbuat demikian.
Peguam Ramkarpal Singh berkata, dakwaan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram itu adalah serius dan beliau bersetuju Daim tidak sepatutnya campurtangan dalam isu tersebut.
Katanya, walaupun berpendirian bahawa pelantikan Raus dan Zulkefli bagi kedua-dua jawatan itu tidak mengikut Perlembagaan dengan alasan-alasan yang telah dinyatakan sebelum ini, namun penyingkiran mereka mestilah dibuat mengikut kedaulatan undang-undang.
“Penglibatan Daim (jika benar) sesungguhnya bertentangan dengan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor berkata, persepsi bahawa kemungkinan wujudnya campur tangan (terutamanya oleh pihak yang dilihat rapat dengan kerajaan) dalam pelantikan atau penyingkiran ketua hakim negara dan presiden mahkamah rayuan mesti dielakkan sama sekali.
Daim, katanya, sepatutnya lebih arif dalam hal tersebut dan mengelak daripada terlibat (jika dakwaan Sri Ram benar) kerana kecenderungan berbuat demikian tentunya akan menimbulkan persepsi wujudnya campur tangan.
Anak kepada mendiang Karpal Singh itu berkata, perkara tersebut telah pun didengar di Mahkamah Persekutuan dan keputusannya masih tertangguh.
Katanya, Mahkamah Persekutuan harus segera menetapkan tarikh untuk keputusan secepat mungkin mengambil kira perkara tesebut perlu diselesaikan segera untuk kepentingan keadilan.
Semalam portal berita MalaysiaKini memetik sumber melaporkan Daim telah bertemu Md Raus dan Zulfkefili mendesak kedua-duanya meletakkan jawatan.
Gopal dalam ulasannya berkata, perkara tersebut walaupun mungkin berniat baik namun ia tidak sepatutnya berlaku kerana tindakan Daim itu jelas melanggar Perlembagaan. – MalaysiaGazette