KUALA LUMPURÂ – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Callman Semalaysia (PERCAMAS) hari ini melancarkan program keselamatan pengguna jalan raya sempena musim perayaan.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, program itu dengan kerjasama PERCAMAS bertujuan membantu pengguna jalan raya mendapatkan khidmat menunda kereta dan bengkel kereta pada harga berpatutan serta mengelakkan penipuan.
“Kita tidak mahu bengkel kenderaan dan penarik kereta mengambil kesempatan atas kesusahan pengguna jalan raya terutamanya pada musim perayaan.
“Bermula raya ini, kita harap dapat beri kelegaan dan keselesaan kepada pengguna dan kita ingatkan pengguna tidak tandatangani apa-apa dokumen sebelum menghubungi talian bantuan kita.
“Ini bagi memastikan ada pihak bertanggungjawab membantu pengguna dalam kecemasan khususnya menunda kereta sampai ke bengkel yang berdaftar dengan kita,” katanya pada sidang media di ibu pejabatnya PPIM di Kondominium Villa Puteri di sini hari ini.
Nadzim berkata, PPIM mahu PERCAMAS menjadi tempat rujukan utama pengguna untuk memastikan pihak yang berdaftar dengan pertubuhan itu menawarkan khidmat dengan bayaran berpatutan.
“Kita mahu mendidik pengguna dan keluarga di kampung tentang langkah yang perlu diambil dalam keadaan kecemasan,” katanya.
Jelasnya lagi, pihaknya akan memantau mana-mana callman atau bengkel yang terlibat dengan penipuan termasuk menyenarai hitam mereka dan menguar-uarkan kegiatan mereka di laman media sosial bagi melindungi pengguna.
Sementara itu Presiden PERCAMAS, Ramlan Ramli berkata, pertubuhan itu komited memastikan khidmat dan bantuan profesional oleh ahli yang berdaftar untuk semua pengguna jalan raya.
“Ahli kami ada di seluruh Semenanjung lebih 2,000 ahli yang berdaftar dengan menawarkan khidmat bantuan awal untuk menarik kereta yang mengalami masalah seperti kerosakan atau kemalangan
“Banyak kali kita dengar tohmahan terhadap callman mengambil kesempatan mengenakan caj berlebihan manakala bengkel pula tidak membekalkan alat ganti tulen.
“Dengan cara ini juga kami dapat memantau callman dan bengkel yang melakukan penipuan dan mengenakan caj lebih tinggi daripada pasaran,” katanya.
Ramlan turut berkata, ahli PERCAMAS juga mengendalikan bengkel kenderaan bagi memastikan pengguna tidak dikenakan bayaran terlalu tinggi dan tiada pihak yang mengambil kesempatan ke atas pengguna.
PERCAMAS merupakan pertubuhan yang disokong oleh PPIM untuk menyedia dan menyelaras garis panduan, kod etika dan tatacara ahli-ahli callman.
Pertubuhan ini menjadi badan rujukan, perunding cara atau khidmat nasihat yang membantu pengguna jalan raya dan pihak berkuasa tempatan.
Katanya lagi, sebarang bantuan kerosakan kenderaan atau kemalangan boleh menghubungi PERCAMAS di talian 016-257 6699. – MalaysiaGazette.