Home Dunia Qatar heret UAE ke mahkamah hak asasi manusia PBB

Qatar heret UAE ke mahkamah hak asasi manusia PBB

Qatar
UAE, Arab Saudi, Bahrain dan Mesir melaksanakan boikot terhadap Qatar pada 2017 dengan memutuskan hubungan diplomatik dan pengangkutan ke atas negara kecil yang kaya itu apabila mendakwa ia menyokong keganasan.

LONDON – Kerajaan Qatar mengheret Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ke Mahkamah Kehakiman Antarabangsa (ICJ) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana didakwa melanggar hak asasi manusia berikutan tindakan memboikot negara itu pada tahun lalu.

UAE, Arab Saudi, Bahrain dan Mesir melaksanakan boikot terhadap Qatar pada 2017 dengan memutuskan hubungan diplomatik dan pengangkutan ke atas negara kecil yang kaya itu apabila mendakwa ia menyokong keganasan.

Doha menafikannya dan berkata tekanan itu bertujuan mencemarkan kedaulatannya, lapor Reuters.

“Jelas dalam permohonan Qatar kepada Mahkamah Antarabangsa, UAE mengetuai tindakan ini yang mana telah menyebabkan kesan kemusnahan terhadap hak asasi warga Qatar dan penduduk Qatar,” kata kerajaan itu dalam kenyataan.

Menteri Luar UAE, Anwar Gargash dalam akaun Twitternya menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘penipuan’ Doha.

Kerajaan Qatar berkata, pelaksaan langkah mendiskriminasikan Qatar oleh UAE meliputi larangan warganya memasuki atau melalui UAE, mengarahkan warga UAE meninggalkan Qatar dan menutup ruang udara dan pelabuhan UAE kepada negara itu.

Qatar berkata, ia percaya tindakan tersebut melanggar Konvensyen Antarabangsa mengenai Penyingkiran Semua Bentuk Diskriminasi Perkauman (CERD) – termasuk diskriminasi warga negara asas – yang mana UAE dan Qatar merupakan penandatangannya.

Arab Saudi, Bahrain dan Mesir bukan anggota konvensyen CERD.

Aduan yang difailkan Qatar lewat semalam mendakwa UAE melakukan diskriminasi dengan menghadkan kebebasan bersuara dan pergerakan terhadap warga Qatar di UAE dengan menghasut bagi menimbulkan kebencian ke atas mereka, menutup stesen televisyen Al Jazeera dan menghalang transmisi media milik warga Qatar.

Qatar memohon mahkamah mengarahkan UAE mengambil langkah untuk memenuhi obligasi di bawah CERD, menghentikan dan merombak langkah itu serta memulihkan hak-hak warga Qatar.

Ia juga meminta UAE membayar ganti rugi tetapi tidak menyediakan mahlumat terperinci jumlah yang diminta.

Pada lewat petang semalam, pendaftar mahkamah mengesahkan ia menerima aduan itu, yang merupakan langkah pertama dalam pertikaian yang mana mahkamah mungkin membicarakannya.

Pada kebiasaannya mahkamah meminta pendapat kedua-dua belah pihak sama ada ia mempunyai kuasa kehakiman sebelum menimbang sesuatu kes, proses yang pada lazimnya mengambil masa bertahun-tahun. – Agensi