PUTRAJAYA – Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Zuraida Kamaruddin menafikan dakwaan Syarul Ema Rena Abu Samah merajuk dengan beliau.
Sambil ketawa, Zuraida berkata, Syarul Ema atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga adalah rakan rapat beliau dalam politik dan menolak dakwaan itu.
“Ratu Naga kawan baik saya, tidak adalah (dia merajuk dengan saya mengenai) pencalonan untuk PRU14 bukan kuasa saya,” katanya dalam sidang media di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini.
Zuraida menjawab pertanyaan media mengenai dakwaan bahawa Ratu Naga berkecil hati dengan beliau kerana tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14), 9 Mei lalu.
Ratu Naga sebelum ini dikatakan akan diletakkan calon PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek di Melaka.
Malaysia Gazette sebelum ini membuat laporan bekas ahli seumur hidup PKR, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa Zuraida akan menamakan blogger berkenaan sebagai calon di DUN Gadek.
Pada Ogos tahun lalu, Chegubard yang membuat kenyataan mendakwa menerima satu panggilan daripada seorang sahabat dalam jentera PKR mendakwa nama blogger berkenaan akan diangkat sebagai calon PKR.
“Dia mengeluh katanya blogger yang cari makan dengan menipu dan fitnah masuk PKR ampu Zuraida dapat jadi calon di Melaka,” katanya kepada media.
Ratu Naga berkata, beliau telah dilantik sebagai Pengarah ‘Jentera Tukar Melaka’ bersama Zuraida bagi memastikan negeri Melaka jatuh ke tangan PH. -MalaysiaGazette