Home Nasional RTM timbang siar lebih banyak perlawanan Piala Dunia

RTM timbang siar lebih banyak perlawanan Piala Dunia

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bersalaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat (tiga kanan) sambil diperhatikan Timbalan Pengarah Penyiaran RTM, Muis Shafie (tiga kiri) selepas menyerahkan cek penajaan program pada sidang media FIFA World Cup Russia 2018 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 12 JUN 2018.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bersalaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat (tiga kanan) sambil diperhatikan Timbalan Pengarah Penyiaran RTM, Muis Shafie (tiga kiri) selepas menyerahkan cek penajaan program pada sidang media FIFA World Cup Russia 2018 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 12 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Tajaan berjumlah RM30 juta daripada Maxis Berhad dan Air Asia Berhad sudah memadai untuk membolehkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 di Rusia yang akan bermula Khamis ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya masih berbicang untuk menambah siaran perlawanan sekiranya menerima lebih banyak penajaan selepas ini.

“Kita menerima RM18 juta daripada Maxis selaku penaja Platinium dan RM12 juta daripada Air Asia selaku penaja emas untuk menanggung kos penyiaran 41 daripada 64 perlawanan menerusi TV1 dan TV2 sebagai memenuhi permintaan rakyat yang tidak mampu memiliki siaran televisyen berbayar.

“Kalau ikutkan wang penajaan yang diterima sekarang pun sudah mencukupi untuk kita menguruskan kos penyiaran sekarang setelah memperolehi hak penyiar berlesen bernilai RM30 juta yang ditanggung penaja.

“Saya difahamkan ada ramai lagi penaja menunjukkan minat untuk menaja kos penyiaran RTM itu, bagaimanapun kita masih dalam perbincangan untuk meneliti sama ada hendak menambah jumlah penyiaran,” katanya pada sidang media pelancaran penyiaran perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 di lobi kementerian itu hari ini.

Tambah beliau, ia merupakan usaha pertama beliau untuk meningkatkan prestasi penyiaran TV1 dan TV2 selepas ini.

Bagi edisi ke-21, gobind berkata, RTM memperuntukkan 400 jam penyiaran 41 perlawanan itu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 28 perlawanan, termasuk separuh akhir dan perlawanan akhir, akan disiarkan secara langsung manakala 13 perlawanan lagi adalah siaran tertunda dan 83 siaran ulangan, tambah beliau.

RTM akan memperkenalkan empat pengacara sukan semasa siaran langsung iaitu Fahrin Ahmad, Rasdi Jumaat, Izwan Mohd Nor dan Azlan Mubin. – MalaysiaGazette