Home Utama Veteran UMNO perlu berkorban, serah kepimpinan pada anak muda

Veteran UMNO perlu berkorban, serah kepimpinan pada anak muda

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah sempat meluangkan masa bergambar bersama sebahagian para hadirin yang hadir pada Program wacana Dilema Melayu Pasca PRU14 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 JUN 2018
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah sempat meluangkan masa bergambar bersama sebahagian para hadirin yang hadir pada Program wacana Dilema Melayu Pasca PRU14 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 JUN 2018

KUALA LUMPURĀ – Sudah sampai masanya pemimpin veteran dalam UMNO mengorbankan jawatan mereka dan menyerahkannya kepada golongan muda untuk memimpin parti Melayu itu dan generasi akan datang di negara ini.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah berkata, golongan muda mesti diberi tanggungjawab memimpin negara dan menjana kuasa untuk generasi akan datang, bukan generasi veteran seperti beliau.

“Masa depan memerlukan pengorbanan daripada saudara-mara saya, generasi saya, supaya orang muda diangkat dan diberi tanggungjawab memimpin negara ini

“Saya kata dengan ikhlas bahawa mereka memang layak untuk menjadi barisan pimpinan yang akan datang, inilah peluang untuk kita serah segala hak itu kepada mereka menguasai pimpinan masa depan.

“Ayuh kita mesti bersama dengan rela hati menyerah (jawatan) kepada golongan muda untuk memimpin generasi akan datang,” katanya dalam Wacana Dilema Melayu Pasca PRU14 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini, malam tadi.

Tengku Razaleigh berkata, apa guna UMNO bina ribuan sekolah dan kolej untuk melatih anak muda dengan pelbagai kemahiran dan ilmu jika tidak dimanfaatkan untuk memulih semula parti keramat itu.

Namun tegasnya, tiada siapa pun boleh mempertikaikan golongan muda untuk mengambil alih pimpinan UMNO kerana mereka mempunyai kredibiliti dan integriti yang tinggi.

“Pimpinan parti kita perlu orang yang tiada rekod boleh dititik bengik oleh sesiapa.

“Orang-orang muda adalah golongan yang boleh menjadi teladan kepada golongan di universiti dan di mana-mana supaya membariskan masa depan yang lebih baik, lebih kuat untuk negara tercinta,” katanya. – MalaysiaGazette