Home Politik Jamal buang tabiat calon Anwar jadi Presiden UMNO

Jamal buang tabiat calon Anwar jadi Presiden UMNO

Datuk Seri Jamal Md Yunos

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang terkenal dengan gimik mencetuskan kontroversi mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini.

Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar itu berkata, Ketua Umum PKR itu wajar kembali menerajui semula UMNO memandangkan sudah mendapat pengampunan Yang Dipertuan Agong.

Bagaimanapun Jamal tidak menjelaskan secara terperinci mengapa Anwar layak untuk menduduki jawatan tertinggi dalam UMNO.

Dalam video berdurasi selama satu minit 44 saat itu, Jamal turut menamakan pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan Presiden UMNO.

“Naib Presiden Umno pula ialah, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan seorang calon lain. Begitu juga dengan ketua wanita dan puteri,” katanya menerusi satu video yang dihantar seorang ahlinya melalui aplikasi WhatsApp kumpulan media malam tadi.

Jamal dalam video sama turut membayangkan untuk merebut kerusi utama sayap pemuda dalam mendepani cabaran parti itu pada masa sekarang.

“Insya-Allah, jika saya terpilih dalam perwakilan pemuda saya akan bertindak membangunkan kembali pemuda supaya sayap Umno ini kembali bermaruah dan terus dihormati demi untuk kejayaan pada masa akan datang,” katanya.

Jamal kali ini tampil dengan berbaju korporat UMNO menerusi satu video dengan berlatar belakang gegantung pemilihan UMNO 2018 yang tertera perkataan ‘Saya Jamal Md Yunos Menawarkan Diri Bertanding Ketua Pemuda Umno Malaysia’.

Pada 25 Mei lalu, Jamal dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa dimasukkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri dan kehilangannya dikatakan disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira jam 5.30 petang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang, 1 Jun lalu.

Waran itu dikeluarkan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.- MalaysiaGazette