Home Nasional MMA mahu ketelusan penuh dalam pemerolehan ubat-ubatan

MMA mahu ketelusan penuh dalam pemerolehan ubat-ubatan

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mahu prosedur yang betul dan bersih untuk bekalan ubat-ubatan serta ketelusan penuh bagi semua perjanjian konsesi bagi pembekalan ubat-ubatan ke hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mahu prosedur yang betul dan bersih untuk bekalan ubat-ubatan serta ketelusan penuh bagi semua perjanjian konsesi bagi pembekalan ubat-ubatan ke hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara.

KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mahu prosedur yang betul dan bersih untuk bekalan ubat-ubatan serta ketelusan penuh bagi semua perjanjian konsesi bagi pembekalan ubat-ubatan ke hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara.

Presiden MMA Dr Ravindran Naidu mengulas laporan yang disiarkan dalam Free Malaysia Today, ‘Pendedahan mengejut syarikat milik ahli politik, kerabat diraja dan pegawai dikaitkan dengan kerajaan terdahulu dalam monopoli bekalan ubat-ubatan bernilai berbilion ringgit’ pada 13 Jun.

“MMA memandang berat dan kesal mengenai dakwaan melibagtkan individu-individu terkemuka yang dikaitkan dengan pihak ketiga dan syarikat yang menyebabkan peningkatan kos ubat-ubatan yang dibekalkan kepada kerajaan melalui kawalan eksklusif dan mengeksploitasi rantaian bekalan.

“Oleh itu, adalah penting dan perlu proses pemerolehan ubat-ubatan kerajaan dilakukan secara telus,bertanggungjawab dan proses ini terpakai kepada semua pihak berkepentingan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Ravindran menambah bahawa harga tender pemerolehan ubat-ubatan harus dipaparkan kepada orang ramai.

“MMA menggesa supaya siasatan terbuka dan telus dijalankan terhadap dakwaan itu yang bukan sahaja mengancam nyawa dan kesihatan semua warga tetapi juga asas teras negara,” kata Dr Ravindran.

“Kita harus mewujudkan proses pembersihan dengan menghapuskan semua ketirisan dan lebihan serta mewujudkan negara Malaysia yang sihat lagi selamat untuk semua warga,” kata beliau.

— BERNAMA