KUALA LUMPUR – Sebuah jawatankuasa akan dibentuk minggu depan bagi meneliti berhubung peletakan jawatan tiga anggota pengarah Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), susulan dakwaan bahawa RM300 juta milik tabung itu disalahgunakan.
Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan anggota jawatankuasa berkenaan bagi memutuskan sama ada menerima peletakan jawatan secara sukarela tiga anggota pengarah itu atau sebaliknya.
“Saya akan mengadakan mesyuarat dan juga membentuk sebuah jawatankuasa seperti dijanjikan semasa sesi town hall untuk meneliti perkara itu. Kita akan umumkan hasilnya pada akhir minggu depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Persatuan Media Tamil Malaysia (MTMA) di dewan Gereja St. Joseph di sini hari ini.
Pada sidang media sebelum ini, Kula Segaran mendedahkan bahawa tiga yang melepaskan jawatan adalah pengarah dan juga mereka terlibat dalam projek latihan.
HRDF adalah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (HRM) yang menguruskan dana latihan bagi pembangunan sumber manusia.
Ketika ditanya mengenai kedudukan Ketua Pegawai Eksekutif HRDF Datuk CM Vignaesvaran Jeyandran, Kula Segaran berkata ia akan diputuskan oleh jawatankuasa sama yang bakal dibentuk itu, dan akan diumumkan pada hujung minggu depan.
“Saya tidak mahu buat penilaian awal terhadap isu ini,” katanya ketika diminta mengulas lanjut mengenai dakwaan berlakunya penyelewengan dana RM300 juta itu.
Sementara itu, pada majlis sehari tersebut hari ini, lebih 600 anggota keluarga dan ahli persatuan berkenaan menyertai pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Turut hadir Pengerusi MTMA S.V. Muthamil Mannan.
— BERNAMA