Home Nasional Patriot mahu ‘Skandal Bazar Ramadan’ disiasat

Patriot mahu ‘Skandal Bazar Ramadan’ disiasat

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Brig Jen (B) Mohamed Arshad Raji.
Mohamed Arshad Raji

KUALA LUMPUR – Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) hari ini menggesa agar siasatan ‘berdasarkan ketegasan undang-undang sepenuhnya’ dilakukan terhadap apa yang disebut sebagai Skandal Bazar Ramadan dan menyifatkannya sebagai ‘tanda dengan dakwat merah pertama’ bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Skandal adalah skandal, tidak kira walau betapa kecil sekali pun, dan mesti disiasat dengan berdasarkan ketegasan undang-undang sepenuhnya,” kata presiden Patriot Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji.

Dalam kenyataan di sini, beliau berkata tindakan perlu diambil terhadap mana pihak yang didapati bersalah kerana dengan cara itu sahajalah PH akan terus mendapat keyakinan serta rasa hormat sepenuhnya daripada rakyat.

Skandal Bazar Ramadan timbul selepas ketua pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mohd Noorhisyam Abd Karim dituduh menyalahgunakan hubungan politik bagi mendapatkan 80 lot bazar di Jalan Masjid India daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan bayaran RM6,238.40 dan didakwa menyewanya pada kadar hingga setinggi RM5,000 bagi setiap lot melalui orang tengah.

Nama Anggota Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun daripada DAP juga disebut berhubung perkara itu, tetapi Fong menjelaskan bahawa beliau hanya mengeluarkan surat sokongan kepada Mohd Noorhisyam dan menegaskan bahawa selain caj dikenakan DBKL, tiada sesiapa pun boleh mendapat bayaran sewa daripada peniaga.

Dalam kenyataan itu, Mohamed Arshad menyifatkan skandal berkenaan sebagai ‘tanda dengan dakwat merah pertama’ bagi kerajaan PH dan berharap kejadian itu adalah yang terakhir bagi PH.

Beliau berkata Patriot mahu anggota parlimen dan anggota dewan undangan negeri PH lebih berhati-hati apabila memberi perakuan berkaitan lesen, permit, kontrak kerja dan projek.

“Begitu juga, penjawat awam dengan kerajaan tempatan, agensi dan jabatan kerajaan, tidak seharusnya takut kepada ahli politik dan mematuhi surat perakuan mereka.

“Selagi prosedur operasi standard dipatuhi dan keputusan dibuat dengan mengambil kira kebajikan orang ramai, tidak perlu timbul perasaan takut,” kata beliau.

— BERNAMA