CALIFORNIA – Ratusan pekerja syarikat taman hiburan gergasi Disneyland berkumpul di luar ibu pejabat taman tema itu bagi menyerahkan petisyen 120,000 tandatangan menuntut gaji sara hidup.
Agensi melaporkan, menurut kesatuan yang mewakili kebajikan para pekerja Disneyland terpaksa mengadakan protes aman di luar taman tema itu berikutan keengganan pengurusan syarikat menaikkan gaji walaupun mendapat keuntungan besar.
Petisyen itu menyebut keuntungan Disneyland juga perlu dikongsi dengan pekerja yang bekerja keras bagi sentiasa memastikan ‘keajaiban’ taman tema itu sentiasa kekal popular dan hebat.
Bagaimanapun, pihak pengurusan enggan mendengar keluhan para pekerja dan petisyen yang diberikan oleh kesatuan pekerja sehingga memaksa turun ke jalanan.
“Pendapatan Disney tidak muncul secara ajaib, ianya diperoleh menerusi pekerja yang bekerja keras bagi memastikan semua pengunjung melalui pengalaman yang menyeronokkan.
“Kesemua pendapatan ini perlu dikongsi dengan semua yang menjadikannya ia kenyataan tetapi berlaku sebaliknya. Kami mahu tuntutan ini bukan sahaja didengari sebaliknya keputusan yang memberi keadilan kepada kami juga,” kata petisyen itu.
Dengan papan tanda seperti ‘Mereka dapat keuntungan, kita lakukan keajaiban’ itu mendapat perhatian pelbagai pihak.
Salah seorang pekerja, Martin Gonzales, 51 yang sudah bekerja dengan taman terkenal dunia itu selama lebih 17 tahun namun tidak mendapat keadilan untuk tempoh lama.
“Ini hanya protes aman, kami hanya mahu mereka tahu permintaan kami adil dan sah, kami banyak bantu naikkan Disneyland tetapi merea tidak naikkan kami sehingga kini,” ujarnya.
Petisyen itu juga menyebut Disneyland mendapat AS$1.5 bilion (RM5.9 bilion) setahun daripada potongan cukai parti Republikan dan aduan bahawa pekerja tidak boleh dipaksa untuk bekerja lebih masa.
Syarikat itu menawarkan 9,500 daripada 30,000 pekerjanya yang menurutnya sudah mendapat bayaran gaji AS$11 (RM43.00) sejam kenaikan 36% yang akan memperlihatkan mereka mendapat kenaikan hingga AS$15 (RM59.00) pada tahun 2020.