Home Sukan Saya tak gaduh dengan Safiq – Jurulatih JDT

Saya tak gaduh dengan Safiq – Jurulatih JDT

Safiq Rahim baru pulih mengalami kecederaan dan dia perlu mempertingkatkan kecergasannya.
Safiq Rahim baru pulih mengalami kecederaan dan dia perlu mempertingkatkan kecergasannya.

KUALA LUMPUR – Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Raul Longhi menolak dakwaan beliau mempunyai masalah dengan salah seorang pemainnya.

Menurut Longhi, terdapat beberapa pihak yang cuba membuat spekulasi bahawa hubungannya dengan Safiq Rahim sedang berantakan.

“Ia adalah tidak benar sama sekali. Safiq adalah seorang pemain yang bagus. Tetapi sekarang dia mengalami kecederaan dan perlu mempertingkatkan kecergasan beliau.

“Tiada individu yang lebih tahu mengenai pasukan ini lebih daripada individu yang mencipta JDT. Kita semua tahu siapa individu tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

Tambah Longhi,  semua keputusan pemilihan pemain bukan hanya terletak di tangannya.

“Jikalau anda semua mengatakan saya yang menyenaraikan barisan kesebelasan utama pasukan selama ini atau mana-mana jurulatih yang pernah bekerja dengan JDT, anda silap.

“Di JDT, keputusan dibuat oleh Tunku Mahkota Johor sebagai pemilik kelab, pengarah sukan, pengarah teknikal, saya dan penolong saya.

“Itu sebab ramai jurulatih yang datang dan pergi di kelab ini tetap memenangi perlawanan kerana pasukan ini bukan bergantung kepada jurulatih sahaja tetapi pasukan ini bergantung kepada semangat kesukanan satu keluarga dan seorang individu yang berdiri di belakang kami semua.

“Kesemua pemain JDT tahu mereka bermain untuk siapa. Mereka bermain untuk keluarga tersayang, kelab dan ‘The Boss’.

“Sebab itu jikalau ada pihak mempersoalkan kenapa saya tidak meletakkan Safiq dalam pasukan, ia bukan keputusan saya dan saya tidak perlu terangkan itu keputusan siapa,” ujarnya. – MalaysiaGazette