KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, tidak wujud sebarang pakatan dalam UMNO sebaliknya akan bergerak sebagai satu pasukan ke arah pengukuhan parti itu.
Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu berkata, beliau kini berada dalam kedudukan membawa perubahan drastik seperti yang dikehendaki ahli dan rakyat pada pemilihan 30 Jun ini.
Pemimpin berusia 81 tahun itu akan menentang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini menyandang jawatan Naib Presiden dan menjalankan tugas sebagai pemangku Presiden.
Sebelum ini spekulasi kuat mengaitkan Ku Li sebagai individu paling sesuai untuk mereformasikan UMNO dan mula dipersoalkan kerana membisukan diri tanpa menyatakan sama ada akan bertanding pada pemilihan parti kali ini selepas Zahid Hamidi mengesahkan dirinya akan merebut jawatan nombor satu itu.
Ditanya mengenai tahap keyakinannya untuk menang jawatan itu, jelas beliau menerima sambutan termasuk panggilan secara meluas menyatakan sokongan dari seluruh negara dalam parti untuk jawatan nombor satu itu.
“Banyak sokongan datang dari seluruh negara secara spontan namun saya tak dapat memperincikan jumlahnya.
“Ramai yang menawarkan diri untuk pemilihan parti. Kami akan membantu satu sama lain untuk berkhidmat kepada kerelevenan parti.
“Kami tidak ada sebarang pakatan dalam parti, kita akan kerja sebagai satu pasukan UMNO setelah pemilihan selesai,” katanya dalam sidang media pengumuman bertanding untuk jawatan nombor satu parti itu hari ini di kediamannya.
Beliau berkata demikian setelah ditanya mengenai timbalan presiden yang akan menjadi pilihan beliau untuk membentuk pasukan.
Ketua Penerangan UMNO ,Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden UMNO kali ini.
Beliau secara bergurau menyatakan keyakinan boleh dapat sokongan kesemua 191 bahagian UMNO dari seluruh negara untuk menang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan 30 Jun ini.
Ditanya mengenai landskap politik parti itu nanti, beliau berkata, kedudukan lanskap parti tidak dapat dijelaskan beliau sehingga proses pemilihan parti semua peringkat selesai sepenuhnya.
“Setelah pemilihan ini selesai dijalankan saya mesti berunding dengan semua kawan-kawan.Dahulunya kita amalkan arahan ‘top guns’ di atas orang bawah perlu ikut. Budaya itu kita nak ubah sekarang yang mana rakyat dan ahli parti nak perubahan drastik sebab itu saya di sini (bertanding Presiden).
“Saya hendak mendengar pandangan dari bawah ‘akar umbi’ sebelum membuat keputusan tertentu kecuali benda itu mustahak diputuskan segera kerana keadaan memaksa kita berbuat demikian,” katanya.
Beliau juga diminta mengulas hala tuju Barisan Nasional serta kedudukan MCA dan MIC kelak.
Ujarnya beliau: “Kami masih ahli BN dan semua (MIC,MCA) mereka ahli komponen BN dan kami belum membincangkan tentang masa depan. Masa depan BN perlulah hubungan lebih erat demi kebaikan rakyat selai pengukuhan parti sebagai pembangkang utuh di negara ini.”
Turut bersama beliau Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin.
Ditanya sama ada beliau akan memecat ahli Parlimen Pekan yang juga bekas presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dari parti, pemimpin berusia 81 itu menjawab: “Kenapa saya perlu buat itu kecuali jika ada salah laku melibatkan dia (Najib).” – MalaysiaGazette