KUALA LUMPUR – Penguasaan bahasa Inggeris, kepakaran teknologi dan sokongan antara resipi kejayaan kepada sesebuah perniagaan e-dagang, menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Kreatif FashionValet (FV), Vivy Sofinas Yusof.
Jelasnya, ketiga-tiga aspek ini akan memacu sektor e-dagang tempatan ke peringkat global.
“Dengan adanya ketiga-tiga faktor ini, ianya akan banyak membantu pertumbuhan syarikat edagang untuk terus berkembang dan berdaya saing sehingga ke peringkat global.
“Sudah tentu pada masa yang sama, sebagai usahawan e-dagang seperti kami banyak memerlukan sokongan daripada pihak kerajaan, selain keperluan lebih ramai tenaga pakar dalam teknologi.
“Usahawan juga perlu bersedia dan rajin dalam meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris yang akan banyak membantu mereka bukan sahaja membolehkan diri berkeyakinan tinggi tetapi juga menghadapi yang lain dalam bidang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di sini hari sebentar tadi ditemani suaminya, Fadzarudin Anuar.
Vivy menambah, perniagaan e-dagang sebenarnya mempunyai masa depan yang amat cerah dan memberangsangkan pada masa-masa akan datang.
FashionValet yang dimiliki bersama oleh Vivy dan suaminya merupakan perniagaan e-dagang fesyen terkemuka di Asia Tenggara dan dijangka akan disenaraikan di Bursa Malaysia.
Pasangan itu memiliki lebih 400 jenama dalam talian, sebenarnya semakin berkembang bukan sahaja dalam negara sebaliknya seluruh Asia.
Selain Vivy, turut mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan ialah usahawan dan selebriti televisyen popular, Neelofa.
Menariknya, kedua-dua ikon usahawan muda ini pernah disenaraikan oleh majalah Forbes sebagai antara 30 tokoh penjana ekonomi Asia di bawah usia 30 tahun.
Dengan monopoli kategori peruncitan dan e-dagang, dua pemain industri muda ini berjaya mencatatkan pulangan lumayan, sekaligus menjadi contoh kepada generasi muda negara yang berminat mahu menjadikan dunia perniagaan sebagai sumber pendapatan utama. – MalaysiaGazette