Home Utama Mampukah turunkan harga beras?

Mampukah turunkan harga beras?

Tiga orang lelaki mengeluarkan beberapa guni beras dari sebuah lori ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 SEPTEMBER 2017
Tiga orang lelaki mengeluarkan beberapa guni beras dari sebuah lori ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta tidak mempertaruhkan alasan untuk menurun dan mengawal harga beras dalam keputusannya menamatkan monopoli PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) sebagai penjaga industri padi dan beras negara.

Ternyata alasan yang digunakan itu menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak tahu fungsi dan tanggungjawab Bernas yang sebenarnya.

Sedangkan Bernas yang mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) pada 1 Januari 1996, semasa negara di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, yang ketika itu giat melaksanakan dasar penswastaan.

Jika harga dijadikan sandaran penamatan monopoli Bernas – itu bukan satu berita yang baik sebenarnya kepada industri dan rakyat Malaysia khususnya.

Apatah lagi, penamatan itu dibuat dalam tempoh tiga minggu selepas Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Barisan Nasional tanpa melakukan kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu.

Sumber industri memberitahu, cadangan kerajaan untuk membuka pasaran beras sebenarnya dikhuatiri memberi implikasi yang lebih buruk kepada industri itu dan pengguna.

Jelasnya, sejauh manakah harga beras dapat diturunkan memandangkan harga beras yang dijual di Malaysia secara relatifnya memang murah – termurah di ASEAN.

Memetik kata Ketua Pegawai Eksekutif Bernas, Ismail Mohamed Yusof, harga semangkuk beras di Malaysia adalah sebanyak 26 sen.

Menurut sumber, Menteri Pertanian dan Asas Tani sepatutnya memberi perincian sebenar maksud murah secara jelas kerana pengguna berhak untuk tahu beras jenis apakah yang boleh dijual pada harga yang lebih rendah berbanding yang dijual sekarang.

Perkara tersebut menimbulkan persoalan memandangkan harga beras yang dijual di pasaran tidak pernah ditentukan oleh Bernas, sebaliknya oleh kerajaan melalui kementerian tersebut.

Harga beras ditentukan oleh kementerian pula bukan dilakukan secara semborono tetapi mengambil kira beberapa faktor.

Ia termasuk bekalan tempatan mencukupi atau sebaliknya; populasi berbanding penggunaan; turun naik mata wang memandangkan bekalan domestik tidak mencukupi dan terpaksa mengimport beras serta faktor-faktor lain membabitkan penawaran dan permintaan.

Itu belum termasuk tanggungjawab sosial Bernas terhadap pesawah dan pengilang tempatan.

Sumber memberitahu, meskipun Bernas merupakan sebuah entiti swasta tetapi peranan Bernas tidak ubah seperti sebuah agensi kerajaan.

Bernas masih dipertanggungjawab untuk membeli semua hasil padi tempatan – sama ada berkualiti atau sebaliknya, kata sumber industri itu.

Bernas juga memperuntukkan sejumlah besar wang di antara RM700 juta hingga RM800 juta setahun untuk didahulukan oleh syarikat itu bagi subsidi beras sebelum menuntutnya kepada kerajaan.

Akibatnya, Bernas masih menunggu hutang-hutang yang masih belum dijelaskan oleh kerajaan.

Selain itu, Bernas turut membantu mewujudkan peluang kepada usahawan-usahawan tempatan melalui kilang-kilang mengering dan mengisar padi dengan kos sebanyak RM80 juta setahun.

Malah, pemborong-pemborong turut menikmati kemudahan kredit daripada Bernas.

Bernas juga tidak boleh gagal dapat memastikan negara mempunyai stok bagi tempoh tiga bulan sebanyak 250,000 tan.

Dan, dengan penamatan monopoli Bernas, bagaimanakah masa depan pesawah-pesawah yang sentiasa mendapat perlindungan kerajaan selama ini?

Syarikat manakah yang sanggup membeli hasil-hasil padi yang kurang berkualiti yang disebabkan oleh faktor-faktor semula jadi dan siapakah yang akan bertanggungjawab terhadap lambakan beras dari luar?

Ini belum dikira lagi apa akan jadi dengan nasib hampir 2,000 orang kakitangan syarikat itu di seluruh negara?

Dalam isu jaminan keselamatan makanan, soal monopoli tidak perlu dipertikaikan jika sistem itu jelas membawa kebaikan berbanding keburukan.

Dengan monopoli sebenarnya kerajaan lebih mudah mengawal apatah lagi ia membabitkan makanan utama dan terpenting bagi rakyat Malaysia.

Jika kerajaan benar-benar serius mahu menamatkan monopoli beras, mengapa tidak dikembalikan semula LPN supaya kawalan industri beras berada selamat dalam tangan kerajaan?, kata sumber industri itu lagi namun skeptikal dengan kemampuan kewangan kerajaan untuk mengambil alih Bernas.

Beras bukan seperti makanan mentah lain seperti ikan atau sayur-sayuran yang boleh dipilih – ia bukan seperti ikan; tidak suka makan ikan merah, pengguna bebas memilih ikan kembung atau ikan tenggiri.

Untuk beras pula, pengguna hanya ada dua pilihan – beras putih super tempatan yang dijual antara RM1.60 hingga RM1.80 sekilogram atau beras import yang dibeli mengikut kadar pertukaran mata wang.

Dengan keadaan ekonomi yang semakin mencabar – ketidaktentuan wang tempatan, persaingan permintaan beras dalam pasaran global, bencana alam yang sukar diramalkan dan jangkaan ‘perebutan’ dalam perniagaan – mampukah kerajaan mengawal harga beras?

Sedangkan tanpa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pun, harga barangan masih kekal tinggi, jangan pula selepas ini pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijadikan alasan oleh pengeluar untuk tidak menurunkan harga beras. – MalaysiaGazette

Baca Selanjutnya:

Penamatan monopoli Bernas mampu turun, kawal harga beras – Salahuddin

TERKINI : BERNAS Masih Relevan, Tidak Amal Monopoli

Bernas masih relevan, tidak amal monopoli  

Wujudkan semula LPN, bukan pecah monopoli Bernas

Monopoli Bernas ditamatkan