JOHOR BAHRU – Sembilan orang termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan membuat dan menerima pertaruhan perlawanan bola sepak di negeri in.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, semua mereka berusia 17 hingga 58 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan di negeri ini menerusi Op Soga Piala Dunia 2018.
Menurutnya, mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan bermula Khamis sehingga hari ini.
“Dalam serbuan terlibat, pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk tujuan tersebut telah dirampas antaranya komputer riba, dua buah telefon bimbit, beberapa buku kecil tercatit jadual perlawanan.
“Turut dirampas beberapa keping kertas putih tercatit angka-angka disyaki pertaruhan perlawanan bola sepak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, jumlah wang tunai yang dirampas adalah sebanyak RM31,196 dan SGD1,052.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati nilai pertaruhan adalah antara RM100,000 hingga RM200,000 dengan menggunakan website www.ms88po.com, www.ag.ccbbet.com dan www.ultra88.com. – MalaysiaGazette