Home Nasional Virus Nipah akibat makanan salut daun pisang palsu

Virus Nipah akibat makanan salut daun pisang palsu

Kakitangan perubatan menjalankan pemeriksaan kesihatan penduduk di Kerala yang diserang virus Nipah. foto Agensi

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan hari ini menafikan penularan berita berkaitan kematian disyaki jangkitan virus Nipah yang dikaitkan dengan bungkusan makanan daun pisang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr. Khalid Ibrahim berkata, berita yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, pihak jabatan telah menyiasat terhadap isu yang tersebar luas di media sosial sejak beberapa hari lalu.

“Hasil siasatan mendapati ianya(berita ) tidak benar.

“Siasatan lanjut dengan hospital swasta yang dimaksudkan itu mendapati tiada kes yang dirawat dan meninggal dunia di hospital tersebut yang menunjukkan berkaitan dengan memakan makanan yang dibungkus dengan daun pisang dan disebabkan oleh virus Nipah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Tambah beliau, untuk maklumat orang ramai, pemantauan notifikasi yang diterima sehingga kini tiada sebarang notifikasi kes atau kematian yang diterima oleh Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian Kesihatan melibatkan penyakit atau kejadian keracunan makanan yang disyaki dan penggunaan daun pisang atau kes yang disyaki menghidap jangkitan virus Nipah.

“orang awam dinasihatkan supaya tidak mempercayai berita atau mesej yang belum tentu kesahihannya.

“Jangan menyebarkan juga berita yang tidak tepat ini tanpa mendapatkan sebarang pengesahan daripada KKM terlebih dahulu,” tegas beliau. – MalaysiaGazette