Home Utama Kami mahu tahu siapa arah pembunuhan Altantuya – Ramkarpal Singh

Kami mahu tahu siapa arah pembunuhan Altantuya – Ramkarpal Singh

Bapa Altantuya Shaariibuu, Dr. Shaariibuu Setev (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat dipercayai bagi membuka semula kertas siasatan berhubung kes pembunuhan anaknya yang juga seorang model dari Mongolia, Altantuya Shaariibuu sambil diiringi peguam bela, Ram Karpal Singh (kiri) di Ibu Pejabat Polis Derah Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Misteri yang menyelubungi pembunuhan model warganegara Mongolia, Altantunya Shaariibuu perlu diselesaikan segera oleh pihak berwajib kerana bukan sahaja keluarga mangsa sebaliknya keseluruhan rakyat Malaysia mahukan jawapan tersebut.

Susulan daripada itu, sekali lagi, bapa kepada Altantuya, Setev Shaariibuu membuat laporan polis hari ini bagi membolehkan pihak berkuasa membuka kembali fail kes tersebut bagi tujuan penyiasatan sejak 2006.

Menurut peguam Setev, Ramkarpal Singh, laporan kedua ini dibuat supaya siasatan menyeluruh kes itu dapat dijalankan tanpa sebarang campurtangan bagi mendakwa individu atau kumpulan bertanggungjawab melakukan pembunuhan tersebut.

“Kami semua mahu tahu siapakah sebenarnya yang mengarahkan pembunuhan ini? Siapa di sebalik insiden ini? Siapa sebenarnya yang mengarahkan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar melakukan perbuatan ini. Juga dengan pembabitan Razak Baginda.

“Laporan polis yang dibuat bagi siasatan menyeluruh, ini termasuk memanggil semua saksi yang terlibat, apapun. Kita tidak boleh lepaskan kes ini begitu sahaja. Sepanjang perbicaraan, kami langsung tidak menyebut siapakah yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembunuhan.

“Kami mahu kebenaran, kamu mahu keadilan untuk keluarga Altantuya dan keseluruhan rakyat,” katanya pada sidang media sambil ditemani oleh Setev di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di selepas membuat laporan polis  di sini sebentar tadi.

Setev yang tidak berkata apa-apa kelihatan begitu sebak dan pilu setiap kali nama mendiang anaknya disebut.

Dalam pada itu Ramkarpal turut mendedahkan antara saksi utama dan penting yang akan dipanggil dalam kes ini termasuk anggota polis dan  Deputi Supritenden Musa Safri.

“Musa bukan didakwa pesalah, jangan salah tafsir. Beliau adalah saksi penting. Pihak polis perlu beri keutamaan  ketika membuat siasatan dengan keterangan beliau.

“Kita mahu tahu kenapa Musa malah bapa mangsa tidak dipanggil untuk membantu kes siasatan ini. Ketika ini, kita tahu di mana Musa Safri berada tetapi setakat ini saya tidak mahu dedahkan apa-apa lagi. Kita tunggu polis jalankan siasatan mereka. Apapun, kita mahu pengadilan,” ujarnya.

Tambah Ramkarpal, tempoh siasatan mungkin akan mengambil masa sehingga tiga hingga empat bulan.

“Itu jangkaan sahaja, tiga hingga empat bulan tetapi mungkin boleh berubah,” tegasnya.

Setev juga dijangka untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Mneteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini jam 5 petang di Putrajaya sebelum berangkat pulang ke Mongolia. – MalaysiaGazette