Home Nasional Lelaki tikam anak saudara 30 kali direman 7 hari

Lelaki tikam anak saudara 30 kali direman 7 hari

Seorang pengamal perubatan Islam disyaki mencabul seorang wanita yang sedang mendapatkan rawatan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disyaki menikam seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun di Kepong, kelmarin direman 7 hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R Munusamy ketika dihubungi berkata, suspek yang berumur 21 tahun itu direman mulai kelmarin sehingga Ahad ini.

Beliau berkata, ujian air kencing suspek didapati negatif dadah.

“Sekarang ini kami akan jalankan ujian darah dan toksikologi bagi mengetahui punca suspek berbuat sedemikian,” katanya.

Mayat kanak-kanak yang ditutup dengan selimut putih itu ditemui neneknya di dapur rumah teres 2 tingkat itu.

Dalam kejadian dipercayai kira-kira 9.30 malam itu, mangsa sedang bermain dengan suspek yang tidak menetap bersama dan hanya datang sekali-kala melawat keluarga berkenaan.

Semasa kejadian, ibu mangsa dipercayai berada di tingkat atas tidur bersama seorang bayinya, manakala nenek mangsa keluar seketika dan sekembalinya ke rumah, beliau terkejut melihat kesan darah di lantai dapur dan selimut putih menutupi sekujur tubuh.

“Apabila nenek mangsa menyelak kain putih itu, nenek mangsa menjerit kerana mendapati cucu perempuannya berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

“Sejurus itu, nenek mangsa terus ke tingkat atas untuk memberitahu ibu mangsa dan pada masa sama melihat suspek berada di tingkat sama sedang bermain dengan bayi (adik mangsa).”

Munusamy berkata, ibu mangsa segera bangun dan meminta pertolongan jiran untuk menghantar anaknya yang tidak sedarkan diri ke sebuah hospital swasta berhampiran.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan pada mangsa di hospital swasta itu mendapati 30 kesan tikaman, dipercayai akibat tusukan objek tajam.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. – BERNAMA