ENGLAND – Jack Wilshere mengesahkan dia akan meninggalkan Arsenal pada akhir Jun ini.
Bintang berusia 26 tahun itu berkata, dia sebenarnya dipaksa meninggalkan Emirates oleh Unai Emery.
Dia mendedahkan perkara itu melalui instagram peribadinya bahawa pengurus baharu the Gunners itu memaksanya membuat potongan gaji untuk kekal di Emirates.
Bagaimanapun, tindakan itu menyebabkan Wilshere merasakan dia tidak lagi mempunyai masa depan dalam skuad Arsenal.
Wilshere walaupun bersetuju untuk potongan gaji namun dia tidak sanggup beraksi sebagai pilihan kedua oleh Emery.
Beliau bersama Arsenal sejak tahun 2001.
“Saya boleh mengesahkan akan meninggalkan Kelab Bola Sepak Arsenal apabila kontrak saya tamat akhir Jun ini.
“Susulan beberapa siri perbincangan bersama pihak berkaitan dalam kelab, serta dengan pengurus baharu Emery, saya merasakan peluangnya sangat tipis untuk saya kekal di sini.
“Saya bersama wakil sedang dalam perbincangan dengan kelab beberapa bulan lalu bagi meneliti pilihan menandatangani kontrak baharu memanjangkan tempoh saya bersama Arsenal,” kata pemain itu.
Tambah Wilshere, niat sepanjang perbincangannya adalah mahu terus bersama kelab itu setelah 17 tahun di sini.
“Peluang akan wujud untuk kita bincang dalam masa sesuai tetapi ketika ini saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua termasuk kelab kerana memberi peluang beraksi selama 17 tahun.
“Saya juga mahu berterima kasih secara khusus untuk Arsene Wenger (bekas pengurus) serta rakan sepasukan saya khasnya penyokong setia.
“Saya kini mengambil masa untuk mempertimbangkan beberapa pilihan yang hadir sebelum membuat keputusan fasa baharu karier saya,” tegasnya. – MalaysiaGazette