Home Nasional Tidak salah dedah kesilapan Kerajaan BN, kata Kit Siang

Tidak salah dedah kesilapan Kerajaan BN, kata Kit Siang

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

PETALING JAYA – Tidak menjadi satu kesalahan bagi menteri-menteri yang baharu dilantik mendedahkan salah laku yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, menteri-menteri yang mengetahui kesilapan lalu wajar mendedahkannya kepada umum supaya tidak dipersoalkan pada kemudian hari.

“Pendedahan-pendedahan itu perlu bagi membina Malaysia baru dan tidak mengulangi semua kesilapan lampau.

“Atas prinsip, saya berpendapat kita perlu membawa kesilapan, skandal dan amalan rasuah didedahkan kepada umum.

“Jika tidak, menteri-menteri baharu akan dipersoalkan mengapa tidak berbuat demikian,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendedahan demi pendedahan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dengan pendedahan-pendedahan tersebut, katanya, ia juga membantu rakyat agar tidak bertoleransi dengan rasuah.

Bagaimanapun, Kit Siang berkata, ulasannya itu adalah umum dan tidak tertakluk kepada kes 1MDB sahaja.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Menteri Kewangan Lim Guan Eng supaya bijak mengimbangi antara tanggungjawab untuk meyakinkan pelabur dan kepentingan untuk membongkar segala penipuan dan penyelewengan.

Menurut Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, tanggungjawab membongkar segala salah laku dan penyelewengan diserahkan kepada menteri atau agensi lain kerana status Guan Eng sebagai Menteri Kewangan cukup sensitif.

Bagaimanapun, Guan Eng dalam kenyataan balas berkata, pendedahan skandal kewangan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga skandal lain di dalam media dibuat atas arahan Perdana Menteri.

Menteri Kewangan itu menambah, beliau bukanlah Perdana Menteri dan tidak mempunyai kuasa untuk memberikan arahan kepada menteri-menteri lain bagi mendedahkan skandal kewangan yang berlaku dalam bidang kuasa Kementerian Kewangan. – MalaysiaGazette