PUTRAJAYA- Kerajaan dijangka menanggung subsidi sebanyak RM3 bilion sehingga hujung tahun ini apabila mengambil keputusan mengekalkan harga petrol RON95 sebanyak RM2.20 seliter manakala diesel pula pada harga RM2.18 seliter.
Bulan lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan harga petrol RON 95 dan diesel dikekalkan dan tidak perlu lagi diapungkan mengikut harga pasaran semasa.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, angka itu bagaimanapun masih belum muktamad berikutan harga minyak di pasaran dunia adalah berubah-ubah.
“Harga minyak sangat mahal sekarang tetapi kerajaan masih sanggup untuk memberikan subsidi kepada RON95 dan diesel.
“Bagi RON97 kita biarkan harganya diapungkan mengikut pasaran kerana ia banyak digunakan oleh kereta mewah dan orang kaya,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.
Harga minyak dunia berlegar sekitar AS$75 setong ketika ini.
Semasa membentangkan manifesto PRU-14, Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk menurunkan harga petrol dan diesel yang diapungkan oleh kerajaan Barisan Nasional terdahulu kepada RM1.50 seliter sekiranya memenangi pilihan raya.-MalaysiaGazette