KUALA LUMPURĀ – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tidak sepatutnya dipersalahkan kerana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan berbilion dolar.
Katanya, beliau telah mengisytiharkan tidak tahu apa-apa berhubung kehilangan wang dana itu yang didakwa telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Bercakap kepada Reuters dalam wawancara pertama selepas kalah mengejutkan dalam pilihan raya pada 9 Mei lalu, Najib berkata, penasihatnya dan pihak pengurusan serta lembaga 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara sengaja merahsiakan penyelewengan yang berlaku dalam dana entiti berkenaan.
Najib menyalahkan lembaga pengarah 1MDB, dengan mengatakan ia adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memberitahunya jika berlaku sesuatu yang silap.
Dalam wawancara itu, Najib juga turut menjelaskan mengenai wang tunai, beg tangan mewah dan barang kemas yang dirampas dari rumahnya oleh pihak berkuasa negara.
Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara bersama Reuters Selasa lalu berkata, pihak berkuasa sudah hampir mempunyai kes lengkap untuk mendakwa Najib dalam penyelewengan, penyalahgunaan dan rasuah berkaitan 1MDB.
Najib, 64, hilang kuasa selepas sedekad menerajui kerajaan, sebahagiannya disebabkan skandal 1MDB, yang didakwa oleh Peguam Negara Amerika Syarikat, Jeff Sessions sebagai kleptokrasi paling buruk.
Najib, dalam beberapa kenyataan mengenai skandal 1MDB berkata, beliau tidak tahu jika beratus-ratus juta dolar yang bergerak melalui akaun peribadinya adalah daripada 1MDB dan digunakan untuk membeli aset secara global, termasuk kapal layar, lukisan, permata dan hartanah.
“Saya tidak berpesta dengan kapal layar, lukisan…saya tidak pernah melihat lukisan-lukisan itu.
“Saya tidak menyedari pembelian ini. Ini dilakukan tanpa pengetahuan saya. Saya tidak akan membenarkan dana 1MDB digunakan untuk perkara- perkara ini. Saya telah lama berkhidmat di kerajaan, saya tahu apa yang betul dan apa yang salah,” kata Najib dalam wawancara yang diadakan di sebuah vila persendirian di Langkawi.
Najib dan keluarganya telah menempah vila berkenaan untuk meraikan Aidilfitri bersama-sama.
Selain anak-anak Najib, anak tirinya, Riza Aziz, seorang pengeluar filem Hollywood turut bersama.
Bersantai dalam kemeja hitam dan seluar coklat, Najib berkata, beliau menikmati golf, makanan, dan masa bersama keluarganya semasa berada di Langkawi.
Para penyiasat yang menyiasat 1MDB percaya Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, telah mengumpulkan kekayaan dan harta daripada dana milik kerajaan itu.
Rosmah turut serta dalam wawancara itu tetapi beliau tidak terlibat dalam temubual tersebut.
Dalam rampasan yang dibuat oleh polis, hampir 300 kotak beg berjenama dan berpuluh-puluh beg yang dipenuhi dengan wang tunai dan barang kemas diambil daripada kediaman yang dikaitkan dengan keluarga Najib.
Ia termasuk beg tangan Birkin daripada pembuat barangan mewah Hermes, masing-masing bernilai sehingga ratusan ribu dolar.
Najib berkata, rampasan beg-beg tangan dan barangan mewah yang lain itu telah memberi persepsi buruk, sedangkan kebanyakannya merupakan hadiah yang diberikan kepada isteri dan anaknya. Ia tidak ada kaitan dengan 1MDB.
“Ya, itu semua adalah hadiah, anak perempuan saya meletakkan label: bila, oleh siapa barang-barang yang diterima,” sambil menambah kebanyakan barangan itu diterima sebagai hadiah perkahwinan anak perempuannya.
Najib berkata, menantunya Daniyar Nazarbayev merupakan anak saudara Presiden Kazakstan, Presiden Nursultan Nazarbayev, juga memberi banyak hadiah beg tangan kepada Rosmah.
“Mungkin orang susah hendak memahaminya tetapi menantu lelaki saya mendapat Birkin daripada sumbernya, lima atau enam pada setiap kali.
“Keluarganya (menantu) mempunyai kedudukan, jadi ia tidak ada kaitan dengan 1MDB jika ia adalah dari Kazakhstan,” katanya.
Najib menambah, wang sejumlah RM114 juta yang ditemui dalam kediaman keluarganya di Kuala Lumpur pula adalah milik UMNO, yang mana pada ketika itu beliau adalah presiden parti sebelum melepaskan jawatan.
Pendakwa Raya Amerika Syarikat mendakwa bahawa lebih daripada AS$4.5 bilion dana 1MDB telah dipindahkan melalui urus niaga yang kompleks dan syarikat-syarikat shell.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) telah memfailkan beberapa tindakan undang-undang untuk menuntut kira-kira AS$1.7 bilion aset yang dipercayai telah dicuri dari 1MDB.
Beberapa aset yang dicari termasuk lukisan Picasso, hartanah mewah di California Selatan dan New York, saham dalam syarikat pengeluaran Hollywood dan kapal layar bernilai AS$ 265 juta dan lebih daripada AS$200 juta barang kemas – loket berlian merah jambu 22 karat dan kalung.
Najib berkata, set barang kemas ini juga adalah hadiah untuk isterinya tetapi Rosmah tidak pernah menerimanya.
“Dan sehingga hari ini, kami tidak tahu … Rosmah memberitahu barangan tersebut tidak berada dalam simpanannya,” kata Najib. – MalaysiaGazette