Home Ekonomi Abdul Wahid masih di PNB

Abdul Wahid masih di PNB

Menurut sumber dalaman, sehingga kini tiada sebarang perubahan di dalam PNB dan Tan Sri Abdul Wahid Omar masih kekal di agensi pelaburan itu.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Wahid Omar masih lagi menerajui Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Menurut sumber-sumber dalaman, setakat ini tidak ada perubahan yang berlaku dalam pengurusan dan pentadbiran PNB.

“Semua berjalan seperti biasa. Spekulasi hanya berlegar di luar,” kata sumber kepada MalaysiaGazette yang berharap khabar-khabar angin itu dapat dihentikan kerana ia boleh menjejaskan sentimen pelabur.

Abdul Wahid disebut-sebut akan meninggalkan institusi pelaburan itu kerana dikaitkan dengan sokongan kepada polisi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-4 yang lalu.

Bagaimanapun, beberapa sumber berkata, perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan memandangkan sesiapa pun yang menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu memberi khidmat kepada kerajaan sedia ada.

“Ini kerana, mana-mana pelantikan peneraju GLC merupakan khidmat kepada negara,” kata sumber tersebut.

Jelas sumber itu, spekulasi seumpama itu tidak baik untuk mana-mana institusi mahu pun entiti perniagaan yang lain.

Apatah lagi, PNB yang merupakan agensi pelaburan terbesar negara memiliki 13.4 juta pemegang unit amanah.

Selain itu, PNB juga adalah pelabur utama dalam pasaran Bursa Malaysia melalui sektor kewangan dan perbankan; utiliti dan perladangan; pembinaan, logistik dan pembangunan hartanah; dagangan, perkhidmatan dan produk-produk pengguna; dan produk industri dan teknologi maklumat dan komunikasi.

Antaranya Malayan Banking Berhad, Sime Darby, UMW, Malaysia Industrial Development Finance Berhad dan sebagainya.

Sehingga akhir tahun lalu, PNB merekodkan sejumlah RM1.906 dalam pasaran modal bursa.

Penguasaan PNB melalui 12 unit dana-dana amanahnya.

Abdul Wahid dilantik menjadi Pengerusi PNB sejak 1 Ogos 2016 menggantikan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Manakala, Datuk Abdul Rahman Ahmad pula mengambil kedudukan Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PNB. – MalaysiaGazette