Home Utama Henti spekulasi yang memburukkan pasaran

Henti spekulasi yang memburukkan pasaran

Sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 kini kembali rancak dan jika trend ini berterusan, ekonomi negara dapat pulih dengan lebih cepat.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menghentikan spekulasi demi spekulasi mengenai penamatan kedudukan peneraju syarikat-syarikat milik kerajaan kerana ia tidak baik bagi pasaran yang semakin tidak menentu sekarang ini.

Meskipun turun naik pasaran semasa disumbangkan faktor-faktor luaran, namun situasi dalaman juga turut mempengaruhi.

Seorang penganalisis berkata, dalam keadaan semasa kerajaan perlu berada dalam tempoh bertenang dan memastikan kedudukan ekonomi dan kewangan dalam keadaan terkawal.

“Pasaran merosot sejak permulaan pentadbiran kerajaan dan ia terus merudum ke paras 17 bulan paling rendah sejak 8 Februari tahun lalu.

“Jadi, berhati-hati dalam keadaan luaran yang tidak menentu, faktor-faktor dalaman pula jangan terus membantu merosakkan sentimen,” kata penganalisis itu.

Sejak kebelakangan ini, pelbagai spekulasi mengenai kedudukan peneraju-peneraju GLC.

Bermula dengan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia, Datuk Seri Shazalli Ramly, korporat Malaysia terus digegarkan dengan spekulasi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan.

Ia disusuli dengan peletakan jawatan Tan Sri Muhammad Ibrahim, Gabenor Bank Negara.

Semalam, sekali lagi korporat tempatan digegarkan dengan peletakan jawatan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Semalam, pasaran susut sebanyak 27.21 peratus atau 1.62 peratus disebabkan oleh kejatuhan saham-saham utama PNB.

Saham-saham syarikat-syarikat PNB – Sime Darby susut 1.83 peratus, diikuti Telekom Malaysia 13.50 peratus. Kerugian yang direkodkan adalah besar!

Hanya lapan kaunter yang berkaitan yang ‘hijau’ daripada 30 yang ada.

Penganalisi itu berkata, kejatuhan pasaran ini perlu ditangani dengan berhemah di peringkat kerajaan bagi mengelakkan sentimen negatif dalam pasaran tempatan.

Jika tidak, ‘kerosakan’ ini perlu mengambil masa yang lama untuk diperbaiki kecuali perang perdagangan Amerika Syarikat dapat ditangani dan harga minyak global kembali stabil.

Selain itu, kedudukan ringgit perlu dirangsang sehingga ia boleh berada di bawah RM4 berbanding dolar.

“Sehubungan itu, kerajaan perlu bantu sentimen. Sekarang ada fokus kepada kedudukan pasaran,” kata penganalisis itu lagi. – MalaysiaGazette