SEPANG – Lembaga Tabung Haji (TH) menaik taraf operasi selepas kompleks baharunya di sini digunakan untuk urusan musim haji 1439H/2018.
Kompleks baharu yang menggantikan kompleks lama di Kelana Jaya yang sudah berusi 36 tahun itu sedia menerima kira-kira 30,200 jemaah yang akan menunaikan haji pada musim ini.
Menggunakan pelaburan sebanyak RM433 juta, kompleks TH baharu itu dilengkapi dengan kemudahan seperti hotel bertaraf empat bintang, masjid, restoran dan anjung tinjau.
Pengarah Urusan Kumpulan TH, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, kompleks tersebut yang terletak di lokasi strategik hanya mengambil masa 10 minit bagi pergerakan jemaah haji untuk ke KLIA.
Menurutnya, ia merupakan satu inisiatif jangka panjang oleh pihak TH dalam usaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah haji Malaysia.
“Kompleks TH Sepang akan dapat menyediakan prasarana yang lebih selesa dan serba lengkap dan dijangka dapat memenuhi peningkatan jumlah jemaah haji selama 20 hingga 30 tahun akan datang.
“Ruang pelepasan yang lebih besar dapat menampung lebih ramai jemaah haji serta mampu menyediakan perkhidmatan untuk dua penerbangan dalam satu masa sekiranya diperlukan,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Operasi Haji Musim 1439/2018 di sini hari ini.
Johan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH memberitahu, komplek berkenaan akan digunakan selama dua bulan sebagai stesen berlepas pada setiap musim haji.
Katanya, hotel dan pusat konvensyen pula akan beroperasi sepanjang tahun termasuk semasa musim haji secara komersial sebagai hotel bertaraf empat bintang kepada jemaah haji, ahli keluarga dan orang awam.
Langkah itu jelas beliau, dapat menjana pendapatan kepada TH, sekali gus manfaat kepada pendeposit. – MalaysiaGazette