KUALA LUMPUR – Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) hari ini memanggil MRT Corporation Bhd. (MRT Corp.) bagi membincangkan cara untuk mengurangkan kos pembinaan projek MRT 2.
Projek yang melibatkan jajaran Sungai Buloh- Serdang-Putrajaya itu sedang giat dijalankan dan fasa pertamanya dijangka siap pada 2021 dan siap sepenuhnya pada 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Shahril Mokhtar berkata, beliau yakin kos pembinaan MRT2 mampu dikurangkan.
Beliau bagaimanapun tidak memberitahu sebarang mekanisme untuk mengurangkan kos berkenaan serta berapa penjimatan yang boleh diperolehi selepas itu.
“Kami berbincang dan bertukar pandangan mengenai cara untuk mengurangkan kos bagi MRT 2.
“Setakat ini, projek MRT 3 masih lagi dibatalkan.
“Kami sedang berusaha ke arah itu dan mencuba yang terbaik untuk mengurangkan demi untuk menyelamatkan wang rakyat.
“Kami yakin mampu melakukannya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan CEP di sini hari ini.
MRT 2 yang turut dikenali sebagai Jajaran SSP melibatkan perjalanan sejauh 52.2 km dengan kos sebanyak RM32 bilion akan menghubungkan Sungai Buloh, Serdang dan Putrajaya.
Ia bakal memiliki 26 stesen atas tanah dan 11 stesen bawah tanah.
Setakat April lalu, projek tersebut telah siap sebanyak 24 peratus.
Usahasama MMC-Gamuda dilantik sebagai kontraktor utama projek berkenaan.-MalaysiaGazette