Home Politik Hanya Vigneswaran layak untuk jawatan nombor 1 MIC – Kumar Aamaan

Hanya Vigneswaran layak untuk jawatan nombor 1 MIC – Kumar Aamaan

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung MIC, Datuk G Kumar Amman mengejutkan banyak pihak apabila tampil memberi sokongan kepada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran bagi bertanding merebut jawatan Presiden MIC.

Tindakan itu menimbulkan persoalan ramai, apatah lagi apabila Kumar Aamaan selama ini begitu lantang mengkritik kepimpinan parti yang disifatkannya gagal memperjuangkan nasib komuniti India negara.

Menurut beliau, Vigneswaran atau mesra dikenali sebagai Vicky adalah calon paling layak menebus kembali maruah dan memadamkan mimpi ngeri MIC sudah menjangkau usia 72 tahun yang satu ketika dulu, berperanan besar sebagai wadah utama perjuangan masyarakat India di Malaysia.

“MIC hanya boleh kekal relevan dalam kalangan masyarakat India seandainya kepimpinan tertinggi dan muka baru ditampilkan.

“Satu ketika dahulu MIC gah kerana menjadi pejuang kepada suara masyarakat India selama bertahun terutamanya ketika di bawah kepimpinan Tun S Samy Vellu. Tetapi kini MIC tak ubah seperti satu jenaka sadis yang melukakan hati setiap penyokongnya,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

alt MGF19052018_PENGUMUMAN MIC07
Naib Pengerusi MIC merangkap Yang di-Pertuan Negara, Tan Sri S.A. Vigneswaran berucap pada majlis Pengumuman Bertanding Jawatan Presiden MIC di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 19 MEI 2018

Kumar Amman yang kini menyandang jawatan Presiden dalam Parti Generasi Baru berkata, MIC amat memerlukan individu berwibawa untuk menyatukan semula parti, sekali gus membentuk barisan pembangkang berdaya saing untuk memenangi semula sokongan padu komuniti India tempatan.

“Tan Sri Vigneswaran banyak berjasa kepada negara dan penduduk India tempatan malah berpengalaman luas sebagai Ahli Parlimen, Ketua Pemuda MIC Malaysia, Setiausaha Parlimen kepada Kementerian Belia dan Sukan, senator dan sekarang sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

“Tidak syak lagi beliau adalah calon terbaik untuk kerusi Presiden MIC,” tegasnya.

Terdahulu pada 19 Mei lalu, Vigneswaran mengumumkan hasrat bertanding jawatan Presiden dalam pemilihan parti akan datang.

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, keputusan itu dibuat dengan tujuan untuk memperkuatkan semula parti selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.

“Walaupun kita gagal dalam PRU-14, namun asas sokongan terhadap parti masih lagi kuat dengan adanya kira-kira 400,000 ahli berdaftar di seluruh Malaysia.

“Saya akan berusaha untuk mengenal pasti kelemahan parti dan memperbaikinya demi memastikan MIC terus relevan dalam arena politik negara,” katanya ketika berucap dalam majlis pengumuman beliau sebagai calon yang bertanding untuk Presiden MIC di Menara Manickavasagam bulan lepas. – Malaysia Gazette