KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu melihat semula kursus-kursus yang ditawarkan kepada para penuntutnya untuk memastikan ia relevan dengan keperluan semasa dan akan datang.
Pro Canselornya, Tan Sri Arshad Ayub berkata, semakan kursus-kursus ini sangat penting sejajar dengan peranannya untuk membina keupayaan dan kecemerlangan graduan-graduan serta melahirkan profesional yang diperlukan oleh pekerjaan.
Sejak awal penubuhan UiTM, institusi pengajian tinggi itu berjaya mewujudkan kursus-kursus bagi memenuhi keperluan industri kerana kumpulan pengurusannya yang saling bekerjasama dengan majikan-majikan.
“Dulu UiTM yang memulakan kursus hotcat (hotel dan katering), kesetiausahaan, pengurusan perpustakaan – kursus yang diperlukan industri, selain juga terbaik dalam pengajian komunikasi, undang-undang, kejuruteraan, seni bina, binaan bangunan dan sebagainya.
“UiTM sudah lebih 60 tahun. Jadi UiTM perlu melihat kursus atau pengajian yang masih belum dikuasai oleh pelajar Melayu dan Bumiputera seperti perubatan, kursus teknikal yang akan digunakan pada masa depan.
“Ini semua kena lihat semula supaya UiTM bukan sahaja dapat mengeluarkan graduan yang berkualiti tetapi memenuhi kehendak pasaran,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Arshad juga menaruh harapan pengurusan UiTM sedia ada dapat mengembalikan pendekatan hubungan rapat antara pensyarah dan penuntut-penuntut universiti itu.
Sejak ditubuhkan dahulu sehingga akhir 1990-an, pensyarah-pensyarah UiTM ditekankan supaya mempunyai hubungan akrab dengan penuntut kerana dengan cara ini kualiti dikekalkan.
“Saya suka pendekatan dulu, yang mana pensyarah dan penuntut bebas bersemuka, mudah bertanya, komunikasi dua hala, berinteraktif secara aktif antara satu sama lain. Inilah istimewa UiTM yang tidak terdapat di institut pengajian lain. Hubungan inilah menjadikan anak-anak Melayu dan Bumiputera berjaya.
“Namun, keadaan hari ini berbeza kerana ada pensyarah yang tinggal jauh dari cawangan UiTM, terpaksa berulang alik. Situasi ini tidak sihat dalam pendidikan,” ujarnya yang mahu perkara ini diperhalusi oleh UiTM.
Jelas Arshad dalam mendidik anak bangsa, kerjasama semua pihak amat penting, termasuk ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan anak-anak.
“Kalau semua pihak termasuk kerajaan, pensyarah, penuntut dan ibu bapa memegang amanah ini, insya-Allah UiTM akan berjaya dengan cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawabnya,” menurut beliau lagi. – MalaysiaGazette