Home Nasional Guan Eng hina kedudukan bahasa Melayu

Guan Eng hina kedudukan bahasa Melayu

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng digesa supaya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia ekoran telah mengeluarkan kenyataan rasmi kementerian menggunakan bahasa Mandarin.

Malah, sebagai menghormati kedudukan bahasa rasmi negara, permohonan maaf itu juga perlu dibuat dalam bahasa Melayu, kata Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut beliau, Guan Eng telah melakukan sesuatu yang biadap apabila menghina dan merendah-rendahkan kedudukan bahasa Melayu yang menjadi perkara asas bukan sahaja dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi dalam setiap amalan dan urusan Kerajaan Malaysia.

“Memandangkan sekarang ini kita berada dalam Malaysia baharu, mungkin bukan sahaja amalan kerajaan yang mesti baharu, tetapi kita juga memerlukan satu bahasa baharu bagi menggantikan bahasa Melayu.

“Kerajaan seharusnya lebih peka, sensitif dan berhati-hati dalam perkara ini. Jangan sampai kerajaan hari ini dilihat oleh rakyat sebagai ‘kaduk naik junjung’. Baru sahaja mendapat kuasa, tindakan dan amalannya sudah jauh melampau dan melebih-lebih sehingga tidak menghormati perkara-perkara asas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khaled berkata, tindakan Guan Eng telah mengundang kemarahan dan rasa tidak senang masyarakat umum.

Ujar beliau, ia turut dilihat sengaja mahu menunjukkan keangkuhan dan sikap semberono Guan Eng dalam menjalankan tugas rasmi kerajaan.

“Lebih teruk, beliau sendiri yang sebelum ini, semasa dipertikaikan pelantikannya sebagai Menteri Kewangan, dengan lantang mengatakan bahawa ‘I am not Chinese, I am Malaysian’.

“Jika tindakan tersebut bukan sekadar satu gimik politik yang penuh kepura-puraan, sebaliknya bertujuan menunjukkan semangat kebangsaan dan nilai beliau sebarang seorang warga negara Malaysia, mengapa ia tidak diterjemahkan dengan konsisten dan bersungguh-sungguh,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama Khaled menambah, meskipun ingin beralih dari bahasa rasmi, Guan Eng sepatutnya mengeluarkan kenyataan tersebut dalam semua bahasa-bahasa utama tanpa menggugurkan bahasa Melayu.

Katanya, jika bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak mahir dan tidak pasti akan sesuatu istilah dan penggunaan bahasa Melayu, beliau boleh mendapatkan khidmat pelbagai agensi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

“Tidak keterlaluan untuk kita menyimpulkan perkara ini sebagai satu tragedi yang amat menyedihkan kepada bahasa Melayu.

“Kerana, belum sampai 100 hari pun kita bertukar kerajaan, bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan sudah ditunjukkan sebagai tidak bernilai dan boleh diabaikan oleh pegawai tinggi kerajaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette