KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) menyokong sepenuhnya cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menurunkan hak umur layak mengundi kepada 18 tahun berbanding 21 tahun ketika ini.
Ketua Pemudanya, Mohd Sany Hamzan berkata, cadangan itu seiring dengan agenda reformasi yang diperjuangkan oleh parti pembangkang sebelum ini yang kini diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir negara.
“Kelayakan mengundi di umur 18 tahun juga selari dengan had umur kematangan rakyat di dalam negara ini.
“Cadangan tersebut dilihat seiring dengan peredaran zaman yang menuntut kepada perubahan dan pembaharuan semasa.
“Rakyat khususnya golongan muda perlu menceburkan diri untuk mencorakkan masa depan negara secara tidak langsung apabila mereka mempunyai hak untuk memilih kepimpinan yang ingin diberi mandat mentadbir negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas cadangan Dr Mahathir pada Khamis lalu yang tidak menolak kemungkinan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan membuka peluang kepada rakyat mengundi seawal umur 18 tahun.
Perdana menteri berkata, kelonggaran itu perlu diberikan beradasarkan kesedaran politik yang kuat ditunjukkan golongan muda pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hingga menjatuhkan Barisan Nasional (BN).
Mohd Sany juga berkata, had layak mengundi di umur 18 tahun bukan perkara asing sebaliknya ia telah dilaksanakan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.
“Malaysia sebagai nama besar di Asia Tenggara sewajarnya mengikut pembaharuan yang dilakukan oleh negara jiran dan usaha mempertingkatkan kualiti demokrasi.
“Pemuda PAN sangat mengambil serius cadangan ini dan sangat gembira apabila aspirasi dan suara golongan muda diiktiraf,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Sany juga menegaskan agar kerajaan komited melaksanakan pendaftaran mengundi secara automatik apabila sampai umur layak mengundi.
“Pelaksanaan ini sangat penting bagi memudahkan rakyat Malaysia untuk menjadi seorang yang layak mengundi terutama pengundi pertama ,” katanya lagi. – MalaysiaGazette