Home Seni Hidup ‘Bini aku dari neraka’ ada mesej untuk dihadam – Sharifah Sakinah

‘Bini aku dari neraka’ ada mesej untuk dihadam – Sharifah Sakinah

KUALA LUMPUR – Pada Syawal kedua lalu, Astro Ria menayangkan telemovie bertajuk ‘Bini aku dari neraka’, kesinambungan cerita ‘Girlfriend aku dari neraka’.

Cerita ini dilakonkan oleh Sharifah Sakinah dan Aiman Hakim.

Walaupun mendapat pujian kerana lakonan Sharifah dalam telemovie ini yang menghiburkan kerana watak ‘bimbo’ sebagai Lidya, namun plot cerita itu tidak dapat lari daripada kecaman netizen yang menganggap mempermainkan agama menerusi babak wuduk akan terbatal jika tersentuh ikan jantan.

Sharifah dalam pada itu baharu-baharu ini mengambil kesempatan memberi penjelasan bahawa telemovie itu mempunyai mesej yang tersendiri.

“Untuk mereka yang sesuka hati kecam drama ini kerana beranggapan kami mempermainkan agama tolong tonton secara keseluruhan dan mengambil iktibar daripada mesej disampaikan.

“Bukan niat kami pun untuk mempermainkan agama (atau) memerli seperti yang kamu sangkakan. Takkan kami berani nak buat begitu.

“Kisah itu mengandungi pengajaran dan moral walaupun karakter sedikit bengap supaya kami boleh menyampaikan mesej secara ringan melalui babak yang kelakar,” katanya melalui Instagram.

Kata Shafifah, wataknya dalam ‘Bini aku dari neraka’ mengajak individu supaya sedar bahawa tidak semua perkara perlu dinilai dan dipelajari hanya menerusi internet yang kini terlalu sinonim dengan kehidupan seharian.

“Saya berpuas hati sekiranya penonton terhibur dengan kisah berkenaan selain mengambil iktibar daripada mesej yang kami cuba sampaikan.

“Lydia tidak mengambil berat untuk betul-betul mempelajari agama, dia hanya membuat andaian berdasarkan fakta tidak lengkap atau fatwa daripada Google.

“Lepas itu dia jadi sangat ekstrem tanpa guru yang betul atau membuat penyelidikan lanjut, dengar pun separuh-separuh.

“(Sama) Macam penonton yang serang inilah, tengok pun agaknya separuh-separuh,” tambahnya.

Telemovie itu turut dibintangi oleh Ungku Hariz, Fiza Thomas dan Sharifah Shahira. -MalaysiaGazette