KUALA LUMPUR – Blogger, Raja Petra Kamaruddin mendakwa tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kerajaan Khamis lalu sebenarnya telah dirancang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam entri terbaru Raja Petra di portal MalaysiaToday mendedahkan motif sebenar Perdana Menteri ke-7 itu yang mahu memansuhkan sistem monarki kepada sistem republik bermula dengan penggunaan bahasa Mandarin.
“Mahathir mahu melihat bagaimana orang Melayu akan bertindak balas. Beliau juga mahu melihat mana di antara tiga calon Presiden UMNO akan keluar untuk menentang perkara ini.
“Mahathir mahu memansuhkan hak istimewa Melayu, kuota perkauman, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan sebagainya. Beliau juga perlu menyebarkan idea bahawa Malaysia adalah negara sekular dan bukan negara Islam.
“Beliau perlu menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua, yang sebenarnya bukan idea buruk. Tetapi untuk itu ia perlu terlebih dahulu menghapuskan monarki dan menjadikan Malaysia menjadi republik,” katanya dipetik dari portal Malaysia Today.
Raja Petra juga mendakwa jika penggunaan bahasa Mandarin dalam semua urusan kerajaan dan kementerian berjaya dilaksanakan, tidak mustahil Guan Eng akan memastikan semua agama setara dengan Islam.
“Seterusnya, semua agama lain akan setara dengan Islam dan bukan Melayu akan sama dengan orang Melayu dan tidak ada lagi kedudukan khas untuk orang Melayu. Kemudian ‘urusan belum selesai’ Mahathir akan selesai,” dakwanya.
Dakwanya lagi, sebab itu Mahathir bersungguh-sungguh mahu dilantik semula menjadi Perdana Menteri kerana beliau perlu melunaskan ‘urusan’ tertangguh yang gagal ditunaikan penggantinya sebelum ini.
“Tengku Razaleigh Hamzah telah memberi amaran kepada orang Melayu pada 30 tahun lalu. Ku Li berkata Mahathir cuba memansuhkan sistem monarki dan tidak akan berhenti mencuba selagi dia berkuasa.
“Pada 1988, Ku Li berkata orang Melayu tidak boleh membenarkan Mahathir memansuhkan monarki dan menjadikan Malaysia menjadi republik kerana Raja-Raja Melayu adalah pelindung dan pembela keistimewaan Melayu, Islam, dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
“Apabila monarki dimansuhkan, maka keistimewaan Melayu, Islam, dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan akan menjadi ancaman,” katanya. – MalaysiaGazette