KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) sedang meneroka peluang untuk melebarkan sayap ke luar negara bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya dan meningkatkan nilai syarikat.
Pengerusinya, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, ia mungkin dilakukan sama ada melalui pengambilan alih syarikat di luar negara ataupun mengeksport sendiri produk dari Malaysia.
Katanya, selain MSM terdapat dua lagi syarikat pengeluar gula di Malaysia ditambah dengan pengimportan gula dari luar negara telah memberi tekanan kepada syarikat tersebut sehingga memaksa mereka mencari jalan keluar untuk meningkatkan nilai syarikat.
“Kami juga terpaksa bersaing dengan syarikat bukan pengeluar gula (pengimport).
“Adakah kami gembira? Sudah tentu tidak dan kami sering memberitahu kerajaan yang kapasiti pengeluaran pasaran tempatan adalah mencukupi, jadi kita tidak perlu mengimport gula.
“Kami perlu keluar dan berjuang di padang yang lebih luas dan inilah yang kami sedang usahakan sekarang di samping membentuk semula syarikat ini,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan MSM di sini hari ini.
Tambah Azhar, antara lokasi yang sedang dikenalpasti adalah Afrika dan China berikutan permintaan yang semakin meningkat terutama apabila China melaksanakan dasar menjadi pengimport bersih gula.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, apa sahaja keputusan yang dibuat untuk melebarkan sayap ke luar negara pastinya tidak akan membebankan kedudukan kewangan syarikat.
“Dari segi kewangan, kami tidak begitu kukuh tetapi secara strategiknya apabila anda mahu meneroka pasaran luar negara, anda perlu mempunyai pakatan dengan satu pihak yang lebih besar atau pergi sendiri.
“Jadi, apa yang pasti apabila kami berhasrat untuk pergi keluar negara, kami tidak akan membebankan MSM dan usaha tersebut mestilah berada pada asas yang selesa tambahan pula, kami baharu sahaja melabur di dalam sebuah kilang penapisan yang besar di Johor. Ia perlu distabilkan terlebih dahulu,” katanya sambil menambah tiada tempoh masa yang dimuktamadkan untuk memasuki pasaran luar negara kerana kajian teliti perlu dilakukan terlebih dahulu.
Dalam pada itu, Azhar menjangkakan MSM kembali mencatatkan keuntungan sekitar RM300 juta pada tahun ini.
MSM merekodkan pertumbuhan positif dengan kembali merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM16 juta pada suku pertama tahun kewangan 2018 berbanding kerugian bersih sebanyak RM35 juta tempoh sama tahun lalu.
Ini didorong oleh kos bahan mentah yang lebih baik dan pengukuhan ringgit di samping pengurusan kos dan operasi yang lebih berhemah dan dalam masa sama memberi fokus kepada pelaburan ke atas aset yang menguntungkan untuk memaksimumkan penjanaan aliran tunai.
Bagaimanapun, perolehan syarikat jatuh 15.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM648.97 juta disebabkan penurunan harga jualan purata sebanyak lapan peratus dan penyusutan jualan termasuk eksport sebanyak 7 peratus. – MalaysiaGazette