Home Nasional Pemegang AP tekan peniaga, kata PPIM

Pemegang AP tekan peniaga, kata PPIM

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bercakap kepada media pada sidang media mengenai Approved Permit (AP) diberikan kepada syarikat yang tidak berniaga barangan tertentu di Pejabat PPIM, Kondominium Villa Puteri, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 26 JUN 2018
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bercakap kepada media pada sidang media mengenai Approved Permit (AP) diberikan kepada syarikat yang tidak berniaga barangan tertentu di Pejabat PPIM, Kondominium Villa Puteri, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 26 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa Approved Permit (AP) terhadap gula membebankan rakyat dan menjadi punca barangan keperluan dijual dengan harga yang tinggi.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, peniaga gula mendakwa, pemilik AP menindas mereka untuk menyusun rangka kadar keuntungan selain tanggungan kos membawa gula masuk ke negara. 

Beliau berkata, walaupun kini Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah pada kadar sifar, namun kewujudan pemegang AP kini dilihat akan menggagalkan usaha untuk menurunkan harga barangan.

Pihak yang memegang AP gula, jelas Nadzim, tidak semestinya menjalankan perniagaan barang keperluan itu yang pada akhirnya disifatkan hanya menjadi orang tengah dengan keuntungan yang berlipat ganda. 

“Kalau AP untuk sekilogram gula RM0.50 contohnya, dan peniaga nak membawa masuk daripada Thailand dengan jumlah yang banyak setiap bulan berapa pula yang pemegang AP dapat? 

“Harga barang makin naik sekarang ini. Kita lihat harga barang boleh turun jika kita tengok ada yang tidak kena dengan AP ini. Kalau diselesaikan secara berperingkat lapisan-lapisan harga barang akan dapat diselaraskan tanpa perlu memberikan lebih kepada pihak yang tidak berniaga gula,” tambahnya. 

Beliau bekata kerajaan perlu memperhalusi pemberian AP khususnya kepada pihak yang menjalankan perniagaan barangan tertentu bagi memudahkan pengawalan harga barang dalam masa yang sama peniaga tempatan tidak tertindas. 

“Kalau diberikan AP ni kepada orang yang betul-betul berniaga, harga barang apa juga bukan setakat gula pun boleh turun lagi,” katanya lagi. -MalaysiaGazette