KUALA LUMPUR – Yuran pencalonan bagi pemilihan PKR pada Ogos depan didakwa terlalu mahal sehingga mencecah RM25,000 bagi jawatan tertinggi parti dan RM3,000 di peringkat Cabang, hierarki terbawah dalam parti.
Bagi jawatan Presiden parti, sebanyak RM25,000 perlu dibayar sebagai yuran pencalonan, Timbalan Presiden RM20,000, Naib Presiden RM10,000 dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat RM5,000.
Di peringkat jawatan Ketua Cabang pula, mana-mana calon perlu membayar yuran pencalonan berjumlah RM3,000 dan jawatan paling bawah iaitu Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang pula perlu membayar yuran sebanyak RM500.
Jumlah yuran pencalonan tersebut disifatkan sebagai keterlaluan walhal sebelum ini bagi jawatan AJK Cabang hanya sekitar RM10 ke RM20, dakwa seorang ahli parti tersebut.
Seorang ahli parti itu, Hafizan Mazuki dalam akaun Twitternya mempersoalkan jumlah yuran pencalonan yang dikenakan tersebut dan membidas sama ada PKR kini sudah menjadi ekslusif untuk mereka yang kaya sahaja.
“Saya bertanding AJK Cabang pada tahun 2014 dengan yuran RM10 atau RM20 barangkali. Kini RM500?
“Ini parti reform atau parti orang kaya?
“@syedhusinali parti harus review kembali peraturan. Untuk galakkan pertandingan atau memastikan hanya orang kaya yang boleh bertanding,” beliau dipetik berkata.
PKR akan mengadakan pemilihan parti pada akhir Ogos ini.
Tempoh sah jawatan setiap pemimpin cabang dan pusat parti berakhir 22 Februari tahun hadapan.
Proses pemilihan parti itu tidak boleh dilaksanakan melangkaui tempoh 18 bulan penangguhan Kongres Nasional Tahunan parti itu yang berakhir, 21 November ini. – MalaysiaGazette