Home Utama Jenama Bijan tiba-tiba jadi sebutan

Jenama Bijan tiba-tiba jadi sebutan

Koleksi beg tangan mewah jenama Bijan. Foto laman web www.bijan.com
Koleksi beg tangan mewah jenama Bijan. Foto laman web www.bijan.com

KUALA LUMPUR – Nama beg tangan mewah jenama Bijan tiba-tiba menjadi sebutan dan popular selepas sidang media khas oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh hari ini.

Ketika Amar Singh menyebut nama jenama itu, ada pihak media yang kehairanan telah meminta beliau mengeja nama ‘Bijan’ itu untuk kepastian.

Sidang media itu bagi memaklumkan perkembangan terkini mengenai nilai rampasan pelbagai barangan dari premis-premis yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak.

Rampasan pelbagai barangan itu ada kaitan dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad.

Jelas beliau, beg tersebut tidak dijual di pasaran tetapi ‘custom made’ (ditempah khas) dan harganya sangat mahal.

Amar Singh berkata, polis telah mengambil sebanyak 567 buah beg tangan dengan 37 jenama termasuk jenama Bijan, Hermes, Chanel dan pelbagai lagi.

Menerusi carian di Google, selain beg tangan mewah, Bijan turut memiliki rangkaian produk mewah seperti minyak wangi, kasut dan beg tangan dijual di butik House of Bijan.

Blog The Most Expensive Journal yang menulis tentang barangan mewah pernah menyatakan harga tali leher jenama Bijan adalah US$1,200 (RM4,832) and sut ditempah khas bernilai US$25,000 (RM80,000).

Jenama itu diasaskan di Los Angeles oleh seorang ahli perniagaan kelahiran Iran, Pakzad Bijan dan butiknya di Beverly Hills dikatakan butik paling mahal di dunia.

Beliau meninggal dunia pada 16 April 2011 akibat strok dan perniagaan itu kini diambil alih oleh syarikat LVMH pada harga RM491 juta (AS$122 juta) pada Ogos 2016.

Antara golongan VIP dan pemimpin dunia yang menjadi pelanggan Bijan adalah Presiden Amerika Syarikat seperti George Bush, Barack Obama, Ronald Reagan dan Bill Clinton.

Selain itu, pelanggan lain adalah pemimpin Arab, Raja Salman, ahli politik terkenal yang lain seperti Tony Blair dan Vladimir Putin.

Bijan turut menjadi pilihan pereka fesyen terkemuka turut menjadi pelanggan Bijan antaranya Oscar de la Renta, Tom Ford dan Giorgio Armani.

Dalam kalangan selebriti pula, Tom Cruise, Anthony Hopkins, pemain bola sepak Mick McCarthy dan Liam Brady pernah menjadi pelanggan Bijan. – MalaysiaGazette