Home Nasional Ketua Pengarah LPP digesa letak jawatan

Ketua Pengarah LPP digesa letak jawatan

LPP
Logo Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Hamzah Bahari digesa agar meletak jawatan kerana didakwa mengkhianati ahli-ahli pesawah berhubung pengurangan subsidi industri padi.

Pengerusi, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, Mohd Fuad Yaakob berkata, pihaknya berasa kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh Hamzah selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Negara.

Beliau mendakwa, perbincangan yang dibuat telah mencadangkan pengurangan itu dan mencuba tanaman baharu seperti cili, timun dan halia di kawasan luar jelapang untuk meningkatkan pendapatan pesawah.

“Pihak LPP tidak pernah berbincang dengan ahli-ahli pesawah berkenaan hal ini dan cadangan tersebut hanya akan meningkatkan kos bersawah dan akhirnya akan meningkatkan harga beras tempatan.

“Ketua pengarah mungkin berfikir bahawa beras import lebih murah dan kita boleh mengimport lebih banyak beras asing. Jika inilah yang difikirkan maka jelas kefahaman Ketua Pengarah LPP ini salah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Fuad berkata, asas konsep jaminan keselamatan makanan negara adalah penghasilan 100 peratus makanan ruji brakyat tanpa bergantung kepada beras import.

Katanya, jika kawasan tanaman padi bertukar kepada tanaman lain, maka pengeluaran padi tempatan akan berkurangan.

“Dalam hal mempertingkatkan pendapatan pesawah, kerajaan tidak boleh lari daripada tanggungjawab untuk mengintervensi industri di peringkat input-input pertanian agar peningkatan kos-kos bersawah dapat ditangani,” ujarnya.

Tambah beliau, kenaikan kos tersebut berpunca daripada ketidakseimbangan dan eksploitasi rantaian bekalan input-input pertanian.

Katanya lagi, apabila kos dikurangkan dan potongan pemutuan juga rendah. Pendapatan petani meningkat.

Tegasnya, cadangan menggantikan padi yang telah ditanam turun temurun dengan tanaman lain juga dilihat sebagai satu perkara ‘tangkap muat’ tanpa memahami keadaan sebenar di lapangan.

“Ada beberapa persoalan yang perlu dijawab iaitu jika luar jelapang ditanam dengan tanaman kontan, adakah hasil (harga sayuran) dapat dijamin? Ini kerana lambakan bahan mentah tempatan (sayuran) d ipasaran akan meningkat.

“Bila lambakan ini berlaku, adakah pihak LPP sanggup membelinya sebagai pembeli terakhir?

“Adakah LPP mampu menjamin menggantikan kerugian pesawah? Tidak terfikirkah pihak LPP bahawa kos berkebun lebih tinggi daripada kos bersawah,” soalnya. – MalaysiaGazette