KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor akan dipanggil untuk dirakam keterangan oleh polis dalam masa terdekat lagi berkaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Amar Singh berkata, polis akan meneruskan siasatan ke atas kedua-duanya walaupun pihak belum dapat mengesahkan kesemua barang rampasan dari enam premis berbeza itu adalah milik bekas pemimpin utama negara itu.
Beliau juga mengesahkan menemui pelbagai dokumen semasa melakukan serbuan di premis di Putrajaya.
“Kita masih menyiasat kaitan dokumen-dokumen berkenaan dengan skandal 1MDB,” katanya dalam sidang media khas pendedahan nilai barang rampasan dalam siasatan kes tersebut di Jalan Tun Razak di sini.
Beliau juga memberitahu, penyumbang atau sumber kepada barang-barang yang dirampas juga sedang dikenalpasti polis secara serius untuk mengambil keterangan membantu siasatan.
Ditanya mengenai khabar angin yang tersebar luas kononnya Ahli Parlimen Pekan itu akan ditangkap pada bila bila masa dari sekarang, Amar Singh menjawab beliau tidak menyedari perkara itu dan tahu menahu mengenainya.
Beliau turut disoal apakah Rosmah akan dipanggil dalam kes ini untuk siasatan polis.
“Ya kami akan memanggil Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor untuk dirakam keterangan oleh polis.
“Kita akan siasat dia (Rosmah) dan akan dipanggil dalam masa terdekat ini,” tegas beliau lagi.
Menjawab lagi pertanyaan wartawan, Amar Singh juga berkata, polis masih belum dapat memastikan sama ada wang tunai yang dirampas dari kediaman Najib di Langgak Duta ialah milik UMNO seperti yang didakwa pemimpin tertentu dari parti tersebut sebelum ini.- MalaysiaGazette