BANGKOK – Pasukan penyelamat akan menggerudi laluan sempit ke dalam sebuah gua dalam usaha mengesan 12 pelajar sekolah dan jurulatih mereka yang dipercayai masih terperangkap.
Usaha mencari dan mengesan mangsa-mangsa pada hari keempat terhalang akibat hujan lebat.
Pelajar-pelajar sekolah yang berusia antara 11 dan 16 tahun, dan penolong jurulatih berusia 25 tahun itu hilang sejak Sabtu lalu selepas menjalani latihan bola sepak.
Mereka dikatakan menuju ke gua Tham Luang untuk tujuan penerokaan.
Pasukan sukarelawan dan pasukan tentera Thailand dikerahkan ke gua yang terletak 10 kilometer di bawah gunung di wilayah utara Chiang Rai.
“Esok kita akan menggerudi laluan ke gunung. Usaha itu bagi membolehkan pasukan penyelamat memasuki gua berkenaan.
“Kami akan berusaha mengesan anak-anak itu,” kata Menteri Dalam Negeri, Anupong Paochinda kepada wartawan di Bangkok.
Sementara itu, keluarga-keluarga pelajar itu berkumpur berhampiran gua berkenaan.
“Air merupakan cabaran terbesar. Terdapat banyak serpihan dan pasir yang tersangkut ketika kami mengepam keluar, “kata pegawai tentera, Sarjan Kresada Wanaphum.
Difahamkan, selain daripada jejak kaki dan tanda yang ditinggalkan oleh tangan mereka yang berlumpur dekat pintu masuk gua, tiada apa yang dilihat atau didengarnya sejak Sabtu petang lalu.
Berdasarkan mesej-mesej pelajar tersebut, mereka ada membawa lampu suluh dan makanan. – MalaysiaGazette