Home Utama Fasa pertama TRX siap awal tahun depan

Fasa pertama TRX siap awal tahun depan

Azmar Talib (tengah) ketika melawat tapak pembinaan pada sesi taklimat media mengenai perkembangan terkini pembangunan TRX di Galeri TRX, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Fasa pertama projek Tun Razak Exchange (TRX) akan siap pada suku pertama tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn. Bhd. (TRXC), Datuk Azmar Talib berkata, setakat ini sebanyak 80 peratus kerja-kerja pembinaan daripada fasa pertama telah disiapkan.

Jelas beliau, pembangunan fasa tersebut melibatkan menara The Exchange 106 dan Prudential.

“Kami menjangkakan dua bangunan ini akan siap sepenuhnya mengikut jadual untuk diduduki pada awal tahun depan.

“Sementara itu, fasa kedua pula akan siap sepenuhnya pada tahun 2020 yang melibatkan Exchange Mall dan ibu pejabat baharu HSBC Malaysia dan Affin Bank,” katanya.

Beliau berkata demikian pada talimat media mengenai maklumat terkini pembangunan TRX di TRX Gallery di sini hari ini.

Pembangunan TRX yang bermula 2012 dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar berjumlah RM40 bilion.

Antara syarikat yang menyertai pembangunan tersebut termasuk HSBC, Prudential Insurance, Affin Bank Berhad, Tabung Haji dan Lendleas.

Mengulas laporan polis berhubung pemindahan dana TRXC kepada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Amzar berkata pihaknya sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk membantu siasatan.

“Kita akan menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan dan kami sedia memberi kerjasama sepenuhnya.

“Saya tidak boleh mengulas lebih lanjut sebab ia masih dalam siasatan dan di luar pengetahuan kami,”katanya.

Mengenai dana tambahan oleh kerajaan berjumlah RM2.8 bilionn, Amzar berkata, ia akan disalurkan secara berperingkat kepada TRXC.

Azmar memberitahu, langkah itu bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan ke atas dana tersebut dan pengurusannya berada dalam keadaan telus.

Pada 25 Jun lalu, TRXC memaklumkan telah membuat laporan polis pada 22 Jun lalu di Balai Polis Jalan Travers berhubung pemindahan dana syarikat itu kepada 1MDB.

Dalam kenyataan TRXC, ia berkata, pemindahan itu dibuat berasaskan arahan daripada 1MDB dan telah dialihkan daripada kegunaan yang dihasratkan mereka, iaitu untuk projek TRX dan Bandar Malaysia.

“Sejumlah kira-kira RM3 bilion telah dipindahkan daripada TRXC kepada 1MDB antara pertengahan tahun 2012 hingga awal 2017, ketika ia merupakan anak syarikat 1MDB, atas pemahaman pindahan tersebut akan dibayar balik kepada TRXC,” menurut TRXC.

Sebelum itu pada 21 Jun, Kabinet mengumumkan telah bersetuju untuk menyiapkan projek TRX dengan memperuntukkan dana tidak melebihi RM2.8 bilion kepada TRXC.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keputusan tersebut akan menangani kebimbangan pelabur-pelabur tempatan dan antarabangsa sedia ada di TRX yang sudah melabur berbilion ringgit.

“Suntikan tambahan RM2.8 bilion akan meningkatkan jumlah besar peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada TRXC ke RM6.5 bilion. Penyiapan TRX akan membolehkan projek tersebut mencapai nilai penuhnya yang sekurang-kurangnya RM7.6 bilion,” katanya. – MalaysiaGazette