PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mengambil langkah segera untuk meningkatkan kebebasan dan profesionalisme entiti Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Menterinya Gobind Singh Deo berkata, langkah itu bagi memastikan media mempunyai kebebasan untuk menjalankan proses semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan.
Semua undang-undang serta peraturan yang berkaitan media akan disemak semula agar kebebasan media sentiasa terjamin, katanya ketika menyampaikan amanat kepada warga KKMM di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang mempertimbangkan penubuhan sebuah Majlis Media yang dianggotai tokoh media, bagi menyelaras garis panduan etika serta bertindak sebagai badan hisbah (badan pengawasan yang ditubuhkan kerajaan) dalam menangani aduan orang ramai terhadap media.
Beliau meminta warga KKMM mengubah cara berfikir serta bekerja secara berpasukan untuk merealisasikan kepentingan komunikasi dan multimedia ke arah meningkatkan pertumbuhan serta mentransformasikan sektor ekonomi bagi kesejahteraan rakyat dalam tempoh enam bulan.
Gobind berkata, warga KKMM perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran, di samping memegang teguh kepada prinsip amanah dan berintegriti agar dapat membudayakan cara kerja serta berfikir yang betul dan berkualiti.
Justeru, beliau berkata, hasrat kerajaan untuk mempunyai sistem jalur lebar dengan dua kali ganda kelajuan pada separuh harga akan dijayakan agar ia dapat memberi rakyat asas kemudahan komunikasi yang lebih berkesan.
“Sebagai langkah pertama, saya mahu menjayakan hasrat menjadikan internet sebagai hak asasi rakyat Malaysia bagi mencorak langkah negara ke masa hadapan bersaing dengan Brunei, Cambodia, Thailand dan Singapura,” katanya.
Beliau berkata, adalah penting KKMM mengatasi masalah kualiti perkhidmatan tersebut agar ia bukan hanya dapat memenuhi kehendak pemegang taruh malah rakyat secara keseluruhan.
Berhubung pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar, beliau berkata, pihaknya akan mengkaji semula undang-undang itu berserta undang-undang lain yang berkaitan dan membuat pindaan bersesuaian mengikut peredaran masa serta teknologi terkini.
“Penelitian semula akan dilaksanakan bagi mewujudkan undang-undang yang lebih mantap dan menyeluruh tanpa mengkompromi kebebasan bersuara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, ” katanya.
Gobind berkata, beliau bersama pengurusan kementerian akan melihat semula strategi serta hala tuju mereka dengan mengkaji semula fungsi, peranan dan rasionalisasi bahagian, jabatan serta agensi seliaan KKKM agar warga kementerian dapat mengorak langkah dengan lebih jelas, selari dengan hasrat kerajaan.
“Kita perlu meletakkan diri sebagai kementerian yang sentiasa berhubung, serta memenangi hati dan minda rakyat,” katanya. -Bernama